MH Online

Laman Suara Rakyat

Maybank Sasar Salur Pinjaman RM50 Bilion Sehingga 2025

Maybank Sasar Salur Pinjaman RM50 Bilion Sehingga 2025

KUALA LUMPUR, Maybank menyasar untuk menyalurkan lebih RM50 bilion pembiayaan lestari dalam tempoh lima tahun sehingga 2025.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, berkata komitmen itu meliputi pembiayaan atau pinjaman langsung dan perkhidmatan berkaitan dengan pengaturan, sindiket, pengumpulan dana atau penaja jamin serta penasihat, yang semuanya akan menyepadukan kriteria Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Justeru, katanya, kumpulan ketika ini sedang membangunkan Kerangka Kerja Produk Lestari bagi melengkapi usaha sedia ada dalam bidang pembiayaan lestari.

“Antara lain, kerangka kerja ini akan menggariskan metodologi dan prosedur untuk mengklasifikasikan produk dan perkhidmatan kewangan yang ditawarkan oleh Maybank kepada pelbagai kategori penyelesaian hijau, lestari atau peralihan.

“Ia disasarkan untuk dilaksanakan dalam tempoh setahun, yang akan menyumbang kepada pengiktirafan pencapaian kewangan kumpulan yang mampan.

“Sebelum ini, kumpulan telah membiayai RM3.45 bilion projek tenaga boleh diperbaharui bagi tahun kewangan 2020,” katanya pada sidang media maya Hari Kelestarian Maybank 2021, semalam.

Maybank hari ini memperkenalkan komitmen kelestarian jangka panjangnya yang direka bagi mendorong pertumbuhan kumpulan dan memperkukuhkan kedudukannya untuk menjadi peneraju ESG serantau menjelang 2025.

Bank itu memasukkan empat komitmen kelestarian utama dalam kerangka kerjanya termasuk memobilisasikan kewangan lestari sebanyak RM50 bilion menjelang 2025, menambah baik kehidupan sejuta isi rumah di seluruh ASEAN menjelang 2025, mencapai kedudukan karbon neutral dan kemampanan hidup.

Mengulas lanjut, Farid berkata, komitmen itu adalah sebahagian daripada keutamaan strategik kelestarian di bawah Pelan M25, iaitu menjadi digital dan mencipta pendorong nilai baharu untuk Maybank.

“Maybank juga komited untuk mencapai tahap pelepasan karbon yang neutral menjelang 2030 dan mencapai pelepasan karbon sifar bersih pada 2050.

“Kami tidak memberikan pembiayaan untuk aktiviti disenarai hitam yang dianggap tidak sejajar dengan nilai teras kumpulan dan tidak lagi memberikan pembiayaan bagi aktiviti arang batu baharu,” katanya.