Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Maybank Dinobat Antara Bank Terbaik Dunia

Maybank Dinobat Antara Bank Terbaik Dunia

KUALA LUMPUR, Syarikat perkhidmatan kewangan terbesar Malaysia, Maybank, disenaraikan sebagai antara Bank Terbaik Dunia 2020 oleh majalah Global Finance.

Bank itu menyertai senarai terbabit bersama-sama rakan serantau lain iaitu, Commonwealth Bank (Australia), ICBC (China), Bank Mandiri (Indonesia), DBS (Singapura) dan Hana Bank (Korea Selatan).

Menurut laporan dalam portal majalah itu, walaupun persekitaran luaran ketika ini mencabar, bank-bank di Asia Pasifik mencatatkan prestasi kukuh, disokong oleh penampan modal lebih daripada mencukupi, kos kredit yang rendah, pendanaan sebahagian besarnya oleh deposit berbanding pasaran modal selain kesediaan untuk memenuhi cabaran pendigitalan menerusi inovasi.

Ini menjadi petanda baik bagi era pasca COVID-19, berdasarkan pendapat beberapa pemerhati.

Laporan itu memetik Pengarah Urusan Moody’s Financial Institutions Group di Hong Kong, Graeme Knowd, sebagai berkata bank-bank di Asia Pasifik berkedudukan baik untuk mengharungi krisis ini.

“Kami yakin selepas krisis ini berakhir, kebanyakan bank di Asia yang diberikan penarafan tinggi akan kembali mencatatkan keuntungan dan terus merekodkan penarafan yang tinggi,” katanya dalam laporan itu.

Maybank mempunyai operasi di ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom.

Ia menawarkan perkhidmatan perbankan konvensional dan Islam, termasuk perbankan komersial dan pelaburan, insurans, pengurusan kekayaan, gadai janji, pembiayaan kenderaan dan kad kredit.

Sementara itu, cabang pembrokeran Maybank, Maybank Kim Eng, menjalankan aktiviti membabitkan ekuiti dan penjana jaminan bon, penggabungan dan pengambilalihan, pembiayaan projek dan pemberian pinjaman bersindiket.

Bagi tahun keenam berturut-turut, Maybank diberikan penarafan A oleh MSCI ESG Research.

Pada 2018 dan 2019, ia satu-satunya organisasi Malaysia yang dimasukkan ke dalam Indeks Kesamaan Gender Bloomberg.

Majalah Global Finance adalah penerbitan bulanan yang diasaskan pada 1987 dengan menumpukan sektor perniagaan dan kewangan.

Ia beribu pejabat di New York, AS dan mempunyai operasi di London, UK dan Milan, Itali.

Leave a Reply

Top