Anda di sini!
Utama > Ekonomi > MATTA & MAH Meterai MoU Tarik Pelancong Sempena TMM 2020

MATTA & MAH Meterai MoU Tarik Pelancong Sempena TMM 2020

KUALA LUMPUR, Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) serta Persatuan Hotel Malaysia (MAH) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk menjana lebih banyak pendapatan kepada negara sempena Tahun Melawat Malaysia Tahun 2020.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang dan Presiden MAH, Cheah Swee Hee, telah menandatangani MoU tersebut.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah.

Tan berkata, matlamat MoU itu merangkumi pembangunan untuk kerjasama dan perkongsian antara kedua-dua pihak bagi menggalakkan perjalanan masuk ke Malaysia melalui rangkaian, pemasaran dan aktiviti promosi.

Perkongsian itu akan bertindak sebagai platform bagi kedua-dua persatuan untuk memanfaatkan pengetahuan teknikal, kepakaran serta pengalaman, masing-masing bagi pertumbuhan industri pengembaraan dan pelancongan dalam negara.

“Kerjasama ini adalah bertepatan pada masanya bagi ejen-ejen, operator pelancongan dan perhotelan untuk bekerjasama dan meningkatkan mutu perkhidmatan mereka berikutan potensi pertumbuhan dalam industri tersebut,” katanya.

Menurut Tan, persatuan itu akan dapat meningkatkan tawaran perjalanan dan pelancongan anggotanya ke arah mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan serta keadaan industri yang lebih baik, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan Malaysia.

Sementara itu, Cheah berkata, buat masa sekarang, pelancong lebih suka membuat tempahan hotel melalui kemudahan dalam talian, ini juga mewujudkan satu isu baharu kepada ejen pelancongan konvensional dalam memperoleh satu kadar hotel yang kompetitif.

MoU itu akan membantu ejen pelancongan konvensional untuk mendapatkan kadar yang kompetitif bagi tempahan hotel.

“Kami akan menggalakkan (anggota) hotel untuk memperuntukkan peratusan tetapi ini terpulang kepada mereka. Ia bergantung kepada sektor pasaran mereka dan keputusan ini terpulang kepada operator. Tetapi kami mahu mengumpulkan mereka dan membantu menyokong inisiatif ini,” kata Cheah.

Rashidi, ketika bertemu pemberita kemudiannya, berkata kementerian meramalkan kedatangan seramai 33 juta pelancong pada 2018.

“Tahun ini, 75 peratus pelancong yang tiba, datang dari negara-negara ASEAN seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei, Singapura menjadi sumber pasaran terbesar.

“Kami menyasarkan kedatangan pelancong antarabangsa seramai 31.5 juta dalam tahun ini tetapi kami telah melepasi sasaran itu sebanyak 1.5 juta, ” katanya.

Leave a Reply

Top