Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Mat Sabu Janji Siasatan Rapi Terhadap Semua Skandal

Mat Sabu Janji Siasatan Rapi Terhadap Semua Skandal

KUALA LUMPUR, Siasatan secara mendalam akan dijalankan, sebelum sebarang tindakan diambil terhadap pihak yang berkaitan berhubung apa sahaja isu dan skandal yang dikaitkan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata beliau perlu mendapatkan maklumat lanjut daripada semua cabang perkhidmatan ATM sebelum melihat beberapa isu dan skandal membabitkan perkhidmatan itu termasuk pembelian kapal selam Scorpene serta isu dibangkitkan pertubuhan bukan kerajaan sebelum ini.

“Kita akan jalankan siasatan, kita tidak boleh ambil tindakan hanya berdasarkan khabar angin, ia boleh merosakkan imej individu atau jabatan itu.

“Kalau ada (isu dan skandal), kita akan bertindak dengan siasatan yang rapi menerusi audit dalaman dan siasatan dalaman dan kalau tak mampu kita guna audit luaran atau lebih serius kita bawa kepada Kabinet,” katanya pada sidang media pertamanya di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Terdahulu, ketibaan Mohamad yang memulakan tugas rasminya sebagai Menteri Pertahanan hari ini disambut dengan tabik hormat Kawalan Kehormatan Utama (KKU) di Dataran Wisma Pertahanan di Jalan Padang Tembak.

Ketibaan beliau disambut Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Beliau kemudian mengetip kad perakam waktu di ruang lobi kementerian pada pukul 9.40 pagi sebelum dibawa ke pejabat beliau di tingkat lima untuk menandatangani nota terima tugas jawatan Menteri Pertahanan.

Ahli Parlimen Kota Raja yang juga Presiden Parti Amanah Negara itu adalah antara 13 barisan menteri yang mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara semalam.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, beliau akan menghabiskan minggu pertamanya dengan mendengar taklimat dan penerangan mengenai kesemua cabang dalam ATM.

“Setiap dasar yang membawa kebaikan kepada ATM sebelum ini akan diteruskan, sementara dasar yang terdapat kelemahan, ia akan diperbaiki ataupun dibincang semula bersama semua pemimpin atasan ATM seperti Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera,” katanya.

Leave a Reply

Top