Kata Najib, secara am beliau bersetuju dengan kenyataan Mohamad bahawa penghinaan terhadap angkatan tentera tidak patut dijadikan isu perkauman.

“Tetapi saya tidak setuju dengan cubaan Mat Sabu untuk menjadikan ini sebagai isu perkauman dengan menyoal kenapa netizen (warga maya) hanya melenting dengan kenyataan Yew Yin dan kononnya membisu dengan kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah, Harris Salleh.

“Mat Sabu seperti tidak faham atau buat-buat tidak faham kenapa. Netizen marah kerana Yew Yin menuduh tentera hanya tahu makan dan tidur sahaja dan patut menggantikan pekerja asing di ladang,” kata Ahli Parlimen Pekan itu dalam akaun Facebook beliau hari ini.

Semalam, Menteri Pertahanan itu melihat tindakan warga maya yang lebih mengecam Yew Yin berbanding kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah seolah-olah sikap perkauman.

Najib bagaimanapun cuba membandingkan kenyataan yang dibuat oleh Yew Yin dengan Harris berdasarkan beberapa laporan media.

Katanya, kenyataan Harris ialah beliau mahu kerajaan mengkaji semula peranan angkatan tentera dan dengan menggunakan hanya bilangan dan aset yang diperlukan untuk melindungi sempadan negara sementara yang lain boleh digerakkan untuk membantu kerajaan meningkat dan menstabilkan ekonomi kampung luar bandar.

“Antara cadangan Harris masa itu ialah supaya tentera boleh menggantikan pekerja asing sebagai pegawai keselamatan di sekolah manakala tentera wanita boleh menolong membersihkan rumah-rumah luar bandar serta menjalankan kursus yang berguna untuk penghuni luar bandar.

“Tidak seperti Yew Yin, Harris tidak tuduh askar adalah pembaziran wang cukai rakyat dan hanya tahu tidur dan makan sahaja,” dakwa Najib.

Kata bekas Perdana Menteri itu lagi, jika dikaji sudah tentu kenyataan Harris Salleh tidak begitu kontroversi berbanding penghinaan Yew Yin yang menuduh tentera hanya tahu makan dan tidur sahaja.

“Itulah sebab tidakramai netizen marah terhadap Harris, termasuk Mat Sabu sebagai Menteri Pertahanan yang turut membisu masa itu. Mat Sabu, jangan cuba hendak putar belit ini menjadi isu perkauman dan hendak salahkan netizen pula,” kata Najib.