MH Online

Laman Suara Rakyat

Mat Hasan Sokong Adakan Pru-15

Mat Hasan Sokong Adakan Pru-15

SEREMBAN, Hasrat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebaik sahaja penularan pandemik COVID-19 berakhir adalah tepat.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyokong kenyataan itu berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin perlu mendapatkan mandat baharu daripada rakyat menerusi PRU.

“Majoriti tipis yang ada pada kerajaan PN sekarang menyebabkan ia sering dipersoalkan dan keadaan itu tidak berapa baik.

“Oleh itu, mandat baharu daripada rakyat itu penting kerana rakyat mahu lihat supaya kerajaan mesti kerajaan yang mempunyai mandat yang kuat.

“Rakyat sedar, bahawa kerajaan dengan majoriti yang tipis tidak akan mendatangkan kebaikan, justeru hasrat yang dinyatakan oleh Perdana Menteri itu sesuatu yang baik, bagi saya baik kerana untuk mendapat mandat daripada rakyat, bukan atas desakan mana-mana pihak,” katanya di sini, hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata demikian ketika ditemui di luar pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Sabtu lalu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, kerajaan berhasrat untuk mengadakan PRU-15 sebaik sahaja penularan pandemik COVID-19 di negara ini berakhir.

Perdana Menteri berkata, kerajaan pimpinannya akan menyerahkan semula mandat kepada rakyat bila tiba masanya untuk berbuat demikian.

Sementara itu, Mohamad enggan mengulas ketika ditanya pandangannya mengenai isu jawatan Timbalan Perdana Menteri yang dituntut pemimpin UMNO.

“Presiden (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) memberikan penjelasan dan kenyataan, cukuplah,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid menggesa pemimpin parti tidak mendesak Perdana Menteri supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada mereka.