MH Online

Laman Suara Rakyat

Mat Hasan Persoal Zahid

Mat Hasan Persoal Zahid

KUALA LUMPUR, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, digesa memberi pedoman dan hala tuju jelas dalam kerjasama dengan pesaing politiknya, kerana pendekatan sedia ada didakwa mengecilkan peranan dan melemahkan parti itu sendiri.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ia terbukti berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini menyaksikan UMNO yang menguasai Sabah selama 27 tahun, bertukar menjadi pemain politik terpencil dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sehubungan itu, katanya, UMNO perlu memikirkan semula strategi dan kerjasama politiknya, termasuk mempertimbang sama ada hanya perlu bersama PAS dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Apa yang berlaku di Sabah memerlukan UMNO memikirkan semula pendekatan politiknya. Jika Sabah dijadikan sandaran, kelangsungan, pengaruh dan keterlihatan UMNO akan terus terjejas dalam jangka masa pendek dan akhirnya melemahkan UMNO dalam jangka waktu panjang.

“Pengorbanan UMNO memberikan kerusi terkuatnya kepada parti tertentu telah menjejaskan kekuatan UMNO secara signifikan.

“Lebih menyedihkan, UMNO terpaksa berhadapan dengan calon bebas yang ditaja pihak berkepentingan untuk melemahkan UMNO. Janji yang dimeterai berkaitan portfolio Kabinet pun hampir dimungkiri.

“UMNO tidak boleh membiarkan episod PRN Sabah menjadikan kedudukannya seperti kata pepatah, biar alah sabung, asal menang sorak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad menegaskan, kepemimpinan UMNO perlu memberi fokus untuk mengetuai pentadbiran negara menerusi platform BN, dan tidak lagi boleh bernostalgia dengan episod ‘langkah Sheraton’, yang menyaksikan tampuk pemerintahan beralih tangan daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN).

“Kita akan dinilai dengan apa yang boleh kita tawarkan kepada Malaysia. Bukan betapa besarnya pengorbanan kita untuk parti tertentu atau kelangsungan PN.

“Jika kita terpaksa bersendiri bersama PAS dalam Muafakat Nasional (MN) dan BN serta parti komponennya dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang, maka putuskan sedemikian dengan segera, agar kita dapat menyediakan diri,” katanya.

PRN Sabah menyaksikan GRS yang terdiri daripada PN, BN, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan tiga calon bebas memperoleh 41 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, namun UMNO hanya memenangi 14 kerusi dan mengorbankan sejumlah kerusi tradisinya kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Beberapa pemimpin UMNO juga berang dengan Kenyataan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, pasca PRN Sabah yang mengaitkan kejayaan itu dengan kekuatan PN semata-mata, dan dilihat memperkecilkan pengorbanan UMNO.