Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Masih Relevankah UMNO?

Masih Relevankah UMNO?

OLEH : SHAHBUDIN HAJI EMBUN

Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2018 pada 29 dan 30 September yang lalu telah mencatat beberapa sejarah . Antaranya,  buat pertama kalinya UMNO berhimpun sebagai pembangkang.Selain itu, Presiden UMNO yang berucap di PAU kali ini tidak membawa gelaran Perdana Menteri Malaysia. Di samping itu, tercatat juga sejarah apabila buat julung kalinya PAS menghantar delegasi, yang diketuai oleh Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai jemputan khas.Pelbagai sejarah telah dicatat.

Mungkin ada juga yang perasan bahawa PAU kali ini dilihat sebagai tidak terlalu meriah, bukan sebagaimana PAU yang diadakan  sebelum ini. Bagi ahli UMNO yang masih percaya akan perjuangan UMNO, mungkin kekurangan kemeriahan PAU kali ini ada hikmahnya.

Selama ini di setiap PAU, kita akan dengar pelbagai pujian yang meletakkan UMNO sebagai sebuah parti yang terhebat dalam sejarah politik negara dan akan seolah-olah terus memerintah untuk selama-lamanya.Para perwakilan akan mengambil peluang memuji ucapan presiden dan usaha yang dilakukan untuk memantapkan lagi kedudukan UMNO.

Semuanya indah belaka dan seolah-olah para pemimpin UMNO tidak ada cacat celanya. Semua pujian sedap didengar, dan kita akan melihat gelak ketawa apabila ada para perwakilan yang membuat lawak dan pada masa yang sama terus memuji kepimpinan UMNO.  Itu sebabnya  setiap kali PAU berakhir, mungkin ada ahli-ahli UMNO yang terus diulit mimpi yang indah bahawa UMNO akan terus kekal berkuasa untuk selamanya.

Namun realitinya, UMNO kini bergelar sebagai pembangkang. Dalam Pilihan Raya Umum ke 14, rakyat telah memberi isyarat yang jelas menolak akan UMNO dan Barisan Nasional. Namun itu bukanlah  pengakhirannya. Rakyat sebenarnya telah  memberi i peluang kepada UMNI untuk UMNO muhasabah diri atau memperbetulkan kesilapan lampau.

Itu sebabnya , dalam PAU kali ini ,telah  timbul beberapa persoalan di kalangan ahli-ahli UMNO terutamanya tentang hala tuju dan masa depan UMNO. Mampukah UMNO bangkit dan terus membuktikan parti itu masih relevan?Apakah yang akan dilakukan oleh UMNO untuk mendapatkan semula kepercayaan?.  Atau adakah UMNO masih mengharapkan kegemilangan zaman lampau dapat  dijadikan sebagai pembakar semangat untuk memberi harapan dan suntikan baru kepada ahli-ahli hari ini yang UMNO akan terus bangkit dari kekalahan.

Dalam hal ini, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menegaskan yang UMNO perlu berpijak di bumi nyata sebelum terus berjuang. Menurut Ahmad Zahid, Inilah realitinya bahawa UMNO tidak boleh lagi mempunyai mentaliti sebagai kerajaan. Sebagai pembangkang, UMNO harus bertaut dengan rakan-rakan pembangkang yang lain.

Ahmad Zahid terus menegaskan yang UMNO  sudah lama melakukan kerjasama politik ataupun Tahaluf Siasi dengan MCA, MIC, MyPPP, PBRS dan parti komponen lain dalam Barisan Nasiona dan  UMNO akan meneruskan kerjasama dalam Gagasan Pembangkang di atas semangat Ta’awun, iaitu kerjasama untuk kemaslahatan bersama, tidak terikat dan bebas dengan cara yang tersendiri.

Tentang isu masa depan UMNO pula, Ahmad Zahid juga telah  menyenaraikan 21 langkah dalam visinya untuk hala tuju Umno .Dalam halini,  Umno telah menggariskan tiga langkah untuk bergerak ke hadapan, iaitu menjadi pembangkang yang berwibawa dan berkesan; memperkasakan parti dengan kembali kepada perjuangan asal Umno; serta melakukan permuafakatan politik.

Apa yang disuarakan oleh Ahmad Zahid adalah jelas walaupun ada pihak yang menganggap kenyataan Ahmad Zahid tidak menggambarkan hala tuju yang nyata. Perlu diingatkan juga bahawa strategi tentang hala tuju UMNO telah diatur dan biarkan kepimpinan UMNO di bawah Ahmad Zahid terus memacu perjuangan ini.

 

Berikanlah  peluang kepada Ahmad Zahid untuk membuktikan bahawa strategi yang dirancang mampu mengukuhkan semula UMNO . Ahmad Zahid telah menjelaskan yang kepimpinan UMNO masih yakin akan sokongan di peringkat  akar umbi masih kuat,kukuh dan utuh dan ini akan terus menjadi asas untuk UMNO kembali bangkit.

PAU yang baru sahaja berakhir ini mungkin merupakan PAU yang paling penting dalam sejarah penubuhan UMNO. Kini semuanya terpulang kepada  pucuk kepimpinan UMNO untuk membuktikan apa yang diutara dan dibahaskan dalam PAU selama dua hari itu  dapat memberikan kesan yang positif kepada perjuangan UMNO. Jika matlamat ini dapat dicapai, maka UMNO berada di landasan yang betul. Tetapi jika ianya gagal dilaksanakan, nampaknya UMNO terpaksalah berpuas hati untuk terus bergelar sebagai pembangkang untuk jangkamasa yang lebih lama.

 

Shahbudin Embun

Pengerusi Biro Politik

Majlis Perundingan Melayu Malaysia

Leave a Reply

Top