Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Maritim Malaysia Rampas Dadah Bernilai RM2.67 Juta

Maritim Malaysia Rampas Dadah Bernilai RM2.67 Juta

JOHOR BAHRU, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Batu Pahat merampas dadah bernilai kira-kira RM2.67 juta menerusi Op Benteng Laut di kedudukan 1.5 batu nautika barat laut Parit Jawa, Muar, awal pagi tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Johor, Kepten Maritim Sanifah Yusof, berkata dalam kejadian jam 2.10 pagi, seorang pegawai dan lima anggota terserempak dengan dua lelaki yang menaiki sebuah bot gentian ketika melakukan pemantauan penyeludupan di pesisiran pantai, kawasan muara Parit Samsu.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri ke arah hutan bakau berhampiran dan tiada tangkapan dibuat.

“Hasil pemeriksaan di kawasan itu, penguat kuasa menemui dua guni dipercayai dicampak oleh mereka dalam semak hutan bakau berhampiran yang mengandungi bungkusan pelbagai jenis dadah disyaki dadah.

“Pemeriksaan lanjut ke atas guni pertama menemui 24 bungkusan hitam mengandungi serbuk putih disyaki syabu seberat kira-kira 24 kilogram, yang mana nilai pasaran bagi satu gram bahan itu dianggarkan RM80 hingga RM100.

“Pemeriksaan terhadap guni kedua menemui lapan bungkusan hitam disyaki pil ecstasy seberat kira-kira 14.7 kilogram, yang mana nilai pasaran bagi satu pil dianggarkan RM20 hingga RM30,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata, nilai rampasan dadah terbesar bagi tahun ini itu dibawa ke Pejabat Zon Maritim Batu Pahat untuk disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, selain sindiket itu dipercayai ada kaitan tangkapan dibuat pihaknya dalam operasi terdahulu di Parit Jawa, Muar, pada 21 Mei lalu.

“Antara kawasan ‘hotspot’ dikenal pasti menjalankan kegiatan ini kebanyakannya adalah di kawasan Johor Barat di sepanjang 125 batu nautika (231 kilometer) membabitkan Muar, Batu Pahat dan Pontian.

“Maritim Malaysia Johor akan terus mempergiatkan tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam memastikan pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pelanggaran undang-undang dapat dibanteras supaya perairan Johor khususnya Batu Pahat selamat dan terkawal.

“Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan menerusi talian hotline Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-434 4020 atau talian bantuan kecemasan MERS 999,” katanya.

Leave a Reply

Top