MH Online

Laman Suara Rakyat

MARA Tidak Wajar Jadi Mangsa Politik

KUALA LUMPUR, Umno menentang sebarang usaha kerajaan PH untuk merombak aktiviti utama (core-business) Mara melalui konsep pengasingan dan penyerapan ke bawah beberapa kementerian.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sepatutnya sedar bahawa kewujudan Mara mengikut Akta Parlimen pada 1966 dan telah dibahas dan diluluskan di Dewan Rakyat.

Menurutnya, amat mendukacitakan jika sebarang rombakan ini dilaksanakan tanpa merujuk dan dibawa semula ke Parlimen.

“Mara tidak wajar menjadi mangsa kekejaman politik atau politik balas dendam. Mara terbentuk dari resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama pada 1965 yang mahukan agenda perjuangan Bumiputera diperjuangkan.

“Bermula dari Rida, kemudian lahirnya Mara dan sehingga detik ini genaplah 52 tahun agensi ini menabur bakti terhadap masyarakat Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, usaha memecah dan kecilkan Mara dengan meletakkan di bawah pelbagai kementerian menyukarkan agensi itu mencapai matlamatnya membantu Melayu dan Bumiputera.

“Kami mahu kerajaan mengekalkan Mara sebagai satu agensi amanah Bumiputera yang dapat meneruskan perjuangan seperti yang dihasratkan oleh Kongres Bumiputera menerusi seliaan satu kementerian.

“Umno juga berharap kerajaan bertindak rasional menjaga kepentingan awam dengan mengekalkan agensi yang selama ini menjadi nadi kepada ekosistem masyarakat akar umbi. Umno tetap akan mempertahankan Mara demi rakyat,” katanya.