MH Online

Laman Suara Rakyat

MARA Perlu Dikekalkan

KUALA LUMPUR, Kerajaan perlu memastikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dikekalkan dan tidak dipecah mengikut kementerian berbeza.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-UMNO Bera) berkata, tindakan merombak atau memecahkan MARA hanya akan menjejaskan peranannya membantu orang Melayu dan Bumiputera dalam bidang pendidikan serta ekonomi.

Beliau yang juga bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta dan bertanggungjawab terhadap MARA berkata, tindakan memecahkan agensi itu tidak ubah seperti ‘meracik’ tubuh orang Melayu.

“Saya tidak tahu sejauh mana kebenarannya tetapi daripada laporan media sosial, kerajaan akan pecahkan MARA di bawah tiga kementerian iaitu Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“MARA tidak boleh dipecahkan kerana ia bukan saja merencat rancangan pembangunan pendidikan dan keusahawanan Melayu serta Bumiputera, tetapi Seksyen 3(1) Akta MARA menetapkan penubuhannya berkekalan di bawah satu menteri, tidak boleh ada pelbagai kementerian menjaga MARA.

“Mengikut Seksyen 6(1), MARA bertanggungjawab membangunkan usahawan dan pendidikan orang Melayu.

“Menerusi MARA, kita melahirkan satu juta usahawan dan 1.2 juta pelajar Melayu dan Bumiputera.

“Mengikut Seksyen 36, MARA hendaklah disifatkan sebagai orang Melayu, makamemecahkan MARA bermakna meracik-racik tubuh orang Melayu.

“Saya harap MARA dikekalkan di Kementerian Pembangunan Luar Bandar,” katanya ketika membahaskan titah ucapan diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

MARA ditubuhkan pada 1 Mac 1966 di bawah Akta Parlimen sebagai badan berkanun hasil resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pada 1965.