MH Online

Laman Suara Rakyat

MARA Fokus Tingkat Tahap Integriti

MARA akan menumpukan kepada peningkatan tahap integriti dan tadbir urus korporat menerusi penubuhan Unit Integriti (UI) dan pelbagai unit lain untuk memerangi gejala rasuah dalam kalangan pegawai serta kakitangannya.

Pengerusinya, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata kesungguhan berkenaan turut dizahirkan dengan menempatkan seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di agensi itu.

Katanya, langkah itu bagi menyokong komitmen kerajaan memerangi gejala rasuah, di samping mengukuh dan meningkatkan tahap integriti warga MARA termasuk pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMa).

Beliau berkata, pada masa sama, pihaknya menubuhkan Unit Jabatan Audit Negara (JAN) menerusi penempatan dua pegawai Jabatan Audit Negara bagi membolehkan kerjasama pintar menerusi pemindahan pengetahuan, sekali gus membantu pemerkasaan tadbir urus korporat MARA dapat dilaksanakan pada tahap tinggi.

“Sehingga hujung bulan lalu, MARA melaksanakan 38 program pengukuhan dan pembudayaan integriti kepada warga kerja dan pelajar IPMa. Kemuncaknya adalah penyertaan kami dalam Gerakan Revolusi Antirasuah (GERAH) yang ditandatangani pada 13 September ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama Ahli Pengurusan MARA di Bangunan Ibu Pejabat MARA, di sini, hari ini.

Awang Adek, 62, yang dilantik Pengerusi MARA berkuatkuasa Jumaat lalu memulakan tugas hari ini, bagi menggantikan Tan Sri Annuar Musa yang tidak mahu menyambung kontrak jawatannya.

Annuar sebelum ini dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung dakwaan beberapa kes penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa termasuk berkaitan penajaan pasukan bola sepak Kelantan.

Sementara itu, Awang Adek berkata, beliau akan menggunakan sepenuhnya pengalaman sebagai bekas Timbalan Menteri Kewangan, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat dan Penolong Gabenor Bank Negara untuk meningkatkan tahap integriti MARA.

“Lupakan isu MARA sebelum ini. Kita tutup buku lama dan buka lembaran baharu. MARA akan meneruskan komitmen untuk mewujudkan lebih ramai usahawan baharu melalui peluang perniagaan dan pelaburan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia ,” katanya.

Sementara itu, Awang Adek berkata MARA perlu meningkatkan kecemerlangan dan keupayaan daya saing usahawan bimbingannya untuk menuju negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2050, sejajar agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Katanya, pihaknya akan mencari cara dan kaedah terbaik dalam mencipta peluang perniagaan dan potensi kekayaan melalui program keusahawanan seperti latihan keusahawanan, pembiayaan perniagaan, kemudahan premis perniagaan dan kilang industri MARA.

“Modal insan dilahirkan menerusi program pendidikan MARA bukan sekadar menjadi profesional dan pekerja mahir berpendapatan tinggi, sebaliknya ia mencipta peluang pekerjaan.

“Program pembudayaan keusahawanan perlu terus dipertingkatkan dan fokus membangunkan usahawan berjaya serta inovatif melalui pendekatan strategik terangkum tiga ekosistem keusahawanan, pendidikan dan pelaburan,” katanya.