Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Mangsa Banjir Di Terengganu Terus Meningkat

Mangsa Banjir Di Terengganu Terus Meningkat

KUALA TERENGGANU, Pertembungan air pasang besar dengan air sungai yang terlalu banyak di kawasan Kuala Kemaman malam semalam, menyebabkan jumlah mangsa banjir di daerah itu terus meningkat.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata walaupun hujan lebat sudah lama berhenti, kesan daripada pengumpulan hujan lebat di kawasan pedalaman hulu itu menyebabkan aliran sungai ke Kuala Kemaman tidak boleh masuk ke laut kerana bertembung air pasang besar malam tadi.

“Ia menyebabkan banyak kawasan rendah di Chukai muka dinaiki air pada awal pagi tadi dan ketika ini jumlah mangsa banjir adalah 2,159 orang daripada 541 keluarga di dua daerah iaitu Kemaman dan Dungun setakat 8 pagi ini berbanding 1,364 orang daripada 340 keluarga malam tadi.

“Terdapat 17 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) beroperasi di Terengganu ketika ini,” katanya.

Daerah Kemaman yang paling teruk terjejas sebelum ini terus merekodkan peningkatan mangsa kepada 1,953 orang daripada 464 keluarga di 15 PPS berbanding 1,158 mangsa (263 keluarga di 13 PPS) manakala di Dungun, jumlah mangsa kekal tidak berubah iaitu 206 mangsa (77 keluarga) masih berada di dua PPS.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok terus merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 627 orang daripada 131 keluarga berbanding 473 orang (100 keluarga) malam tadi.

Pertambahan mangsa turut berlaku di SK Binjai (84 orang – 17 keluarga) dan SK Chukai (159 orang – 40 keluarga).

Dua PPS yang baharu dibuka ialah di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman menempatkan 286 orang (79 keluarga) dan SK Seri Iman (195 orang – 51 keluarga).

PPS lain pula kekal tidak berubah iaitu Surau Pulau Tempurung menempatkan (105 orang – 18 keluarga), Masjid Kampung Batu 14 (13 orang – empat keluarga), Masjid Kampung Batu 16 Tebak (50 orang – 14 keluarga) Dewan Sivik Felda Seberang Tayor (226 orang – 60 keluarga), Dewan Orang Ramai Teladas terdapat 23 orang (empat keluarga) dan Surau Haji Othman di Kampung Seberang Tayor Hulu (59 orang – 17 keluarga).

Jumlah mangsa juga kekal di Bangunan Pusat Pemindahan Lubuk Megat (23 orang – empat keluarga), Surau Kampung Ban Ho di Air Putih (26 orang – lima keluarga), Kampung Pasir Gajah (12 orang – empat keluarga) dan Dewan Orang Ramai Batu 14 (65 orang – 16 keluarga).

Di Dungun, jumlah mangsa banjir kekal tidak berubah di mana PPS Dewan Orang Ramai Kampung Shukor menempatkan 175 orang (61 keluarga) manakala di Dewan Orang Ramai Pasir Raja masih menempatkan 77 orang (31 keluarga).

Leave a Reply

Top