Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Mangsa Banjir Di Kelantan Terus Meningkat

Mangsa Banjir Di Kelantan Terus Meningkat

KOTA BHARU, Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 808 mangsa sehingga jam 11 pagi ini, berbanding 389 orang jam 8 pagi tadi.

Jumlah mangsa itu membabitkan 216 keluarga yang ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah iaitu Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Machang.

Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS di Kota Bharu mula dibuka jam 9 pagi tadi.

Kota Bharu mencatatkan 164 mangsa daripada 42 keluarga yang ditempatkan di empat pusat pemindahan.

Daerah Pasir Mas menunjukkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu seramai 296 mangsa daripada 88 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS.

Mereka ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jarum; PPS Putat Tujoh; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (A) Lati; SK Kampung Baru; SK Sri Kiambang; SK Bakong dan SK Lubok Setol.

Manakala mangsa di Pasir Puteh mencatatkan seramai 106 orang daripada 25 keluarga yang berada di dua PPS iaitu di Kompleks Dewan Kamil (99 mangsa, 24 keluarga) dan SK Changgai (tujuh mangsa, satu keluarga).

Jumlah mangsa di Tanah Merah masih kekal iaitu 173 orang daripada 45 keluarga berbanding 155 mangsa malam tadi.

Mangsa banjir di Machang meningkat kepada 42 orang daripada 16 keluarga berbanding pagi tadi seramai 37 mangsa ditempatkan di dua PPS iaitu SK Pak Roman (37 mangsa, 15 keluarga) dan SK Mata Air (lima mangsa, satu keluarga).

Sementara itu, berdasarkan web publicinfobanjir.water.gov.my, bacaan air Sungai Golok di Rantau Panjang melepasi paras bahaya dengan bacaan 10.25 meter (m).

Manakala, tiga sungai di paras berjaga-jaga iaitu Sungai Lebir di Tualang; Sungai Kelantan di Tangga Krai dan Sungai Golok di Jenob masing-masing 30.85 m; 22.39 m serta 22.07 m.

Leave a Reply

Top