Share on Facebook

Jumlah mangsa banjir di Kelantan bertambah kepada 13,539 orang setakat 9 pagi ini berbanding 12,734 pada 9 malam tadi.

Kesemua mangsa ditempatkan di 100 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sembilan jajahan membabitkan Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

Aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan Pasir Mas mencatat jumlah mangsa paling ramai iaitu 8,630 orang (3,588 keluarga) yang dipindahkan ke 44 PPS, diikuti Kota Bharu dengan 1,476 mangsa (380 keluarga) yang dipindahkan ke 13 PPS.

Sebanyak lapan PPS dibuka di Pasir Puteh menempatkan 821 mangsa daripada 245 keluarga manakala 711 mangsa (210 keluarga) ditempatkan di 15 PPS di Tanah Merah serta 885 mangsa (284 keluarga) ditempatkan di empat PPS di Tumpat.

Di Machang pula seramai 386 mangsa daripada 112 keluarga dipindahkan ke tujuh PPS, 308 mangsa (73 keluarga) ditempatkan di dua PPS di Bachok, 282 mangsa (74 keluarga) menghuni enam PPS di Kuala Krai dan 40 mangsa daripada sembilan keluarga dipindahkan ke sebuah PPS di Jeli.

Menurut portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas surut kepada 10.40 meter pada 8 pagi ini, berbanding 10.55 meter pada 9 malam tadi. Paras bahaya ialah sembilan meter.

Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat meningkat kepada 3.55 meter berbanding 3.47 meter tempoh sama malam tadi. Paras bahaya ialah 2.50 meter.

Sementara itu, portal eBanjir Kelantan, ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan hingga pagi ini manakala cuaca dilaporkan mendung di negeri ini.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *