MH Online

Laman Suara Rakyat

Man Kidal Dan Isteri Positif COVID-19

Man Kidal Dan Isteri Positif COVID-19

KUALA LUMPUR, Pemain gitar legenda, Man Kidal, 57, dan isteri, Norlaila Yusof, 57, disahkan positif COVID-19.

Berita duka itu disahkan oleh anak bongsunya, Nur Syahira Rahman kepada BH Online.

Nur Syahira berkata, ibu bapanya kini sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Mama mengalami demam berpanjangan dan batuk sejak minggu lalu. Selepas menjalani ujian saringan COVID-19, mama disahkan positif COVID-19 dan diminta menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Bagaimanapun, papa, bapa saudara dan dua anak saudara, kesemua mereka turut menjalani ujian calitan, memandangkan tinggal serumah.

“Sementara menunggu keputusan, papa pula diserang demam panas dan mengalami sakit badan. Keputusan ujian menunjukkan papa positif COVID-19, petang semalam,” dipetik laporan BH Online.

Berkongsi keadaan terkini orang tuanya itu, Nur Syahira memaklumkan, kesihatan ibu bapanya masih belum stabil.

“Saya menghubungi mereka setiap sejam untuk mengetahui perkembangan terkini. Ketika disahkan positif, keadaan mama sangat teruk. Mama demam hingga tidak boleh bangun dan hilang deria bau.

“Bagaimanapun, sakitnya beransur hilang, semalam. Papa pula masih demam dan hilang selera makan,” ujarnya.

Nur Syahira berkata, buat masa ini, mereka masih menjalani kuarantin kendiri di rumah dan menunggu masa untuk dibawa ke pusat kuarantin untuk menerima rawatan COVID-19.

“Saya sudah memaklumkan keadaan mama papa pada Kementerian Kesihatan (KKM), kini hanya menanti tindakan selanjutnya. Bagaimanapun, KKM memaklumkan jika berlaku sebarang kecemasan boleh hubungi mereka dengan segera,” katanya.

Mengakui risau keadaan ibu bapanya, Nur Syahira berkata, dia mengharapkan peminat dapat mendoakan ibu bapanya diberi kesembuhan segera.

“Saya sangat risau memandangkan mama papa sudah berusia. Doakan mereka cepat sembuh,” katanya.