MH Online

Laman Suara Rakyat

Malindo Lancar Penerbangan Ke Varanasi

Malindo Lancar Penerbangan Ke Varanasi

PETALING JAYA, Malindo Air muncul syarikat penerbangan tempatan pertama menawarkan destinasi ke bandar suci, Varanasi, India apabila melancarkan penerbangan sulungnya ke bandar itu petang Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy, berkata India adalah pasaran yang penting buat syarikat itu yang memiliki potensi buat pelancong masuk dan keluar sama ada untuk melancong, perniagaan, lawatan rakan-rakan dan keluarga.

Malahan, katanya Varanasi juga mempunyai kelebihan tambahan dari segi permintaan kerana ia juga adalah destinasi ziarah suci bagi umat Hindu di seluruh dunia.

“Kami berbesar hati untuk menjadi satu-satunya syarikat penerbangan Malaysia yang beroperasi secara terus di antara Kuala Lumpur dan Varanasi.

“Saya percaya matlamat syarikat adalah selaras dengan agenda pelancongan dan ekonomi kerajaan, yang mahu menarik lebih banyak pengunjung ke Malaysia.

“Ini seterusnya meningkatkan keadaan ekonomi dan ketibaan penumpang di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dijangka menjadi hab serantau utama di Asia,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis pelepasan pesawat Malindo OD290 ke Varanasi dihadiri oleh Kaunselor (Hal Ehwal Masyarakat, Pendidikan & Tenaga Kerja) Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Nishit Kumar Ujjwal dan Pengurus Besar Operasi, Malindo Air, Mark Anthony di KLIA.

Ketibaan pesawat itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Lal Bahadur Shastri di Varansai, India kemudiannya disambut dengan meriam air sebagai tanda penghormatan diikuti dengan upacara menyambut penumpang di pintu masuk ketibaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata Malindo menjadi syarikat penerbangan Malaysia yang pertama dan keempat di Asia Tenggara yang memperkenalkan laluan berkenaan.

Katanya, dengan pengenalan destinasi baharu itu, pihaknya menjangkakan akan berlaku peningkatan dari segi pergerakan penumpang di KLIA.

“Pada tahun lalu, jumlah keseluruhan penumpang yang tiba dan berlepas menaiki Malindo membabitkan laluan Indianya di KLIA berkembang 4.3 peratus dari Januari hingga Jun tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.