Malaysia menyuarakan komitmen untuk turut serta membangunkan bandar ini sebagai pusat ketamadunan Islam yang baharu demi kesejahteraan umat di seluruh dunia, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata bagi tujuan itu, Malaysia akan menghantar lebih ramai golongan profesional dan ahli akademik untuk berkongsi pengalaman serta belajar di Institut Kepimpinan dan Keusahawanan Madinah (MILE).

“Kita tidak mahu ketinggalan untuk menyumbang dan belajar agar Madinah dan juga Makkah (pada masa akan datang) menjadi pusat ketamadunan Islam yang baharu,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini, Sabtu.

Terdahulu, Ahmad Zahid diberi taklimat mengenai Bandar Pengetahuan Ekonomi Madinah oleh Naib Presiden Pembangunan Projeknya, Saeed Ahmed Albially dan Pengarah Eksekutif MILE Dr Mohamed Moustafa Mahmoud.

MILE adalah antara komponen dalam Bandar Pengetahuan Ekonomi Madinah yang sedang rancak dibangunkan di kawasan seluas 2.2 juta meter persegi dan projek itu sebahagian daripada Wawasan 2030 Arab Saudi.

Mengulas lanjut, timbalan perdana menteri berkata dengan menjadikan Madinah sebagai pusat ketamadunan Islam yang baharu akan memberi manfaat kepada lebih 1.2 bilion umat Islam di seluruh dunia.

“Apa (yang) dipersetujui secara lisan, Insya-Allah kita akan hantar golongan profesional dan ilmuan untuk belajar dan pada masa sama berkongsi kepakaran di Institut Kepimpinan dan Keusahawanan Madinah,” katanya.

Ahmad Zahid berkata sebelum ini, Malaysia melalui Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dan beberapa universiti tempatan juga telah menjalin kerjasama dengan MILE.

Beliau berkata kerjasama dengan institut berkenaan (MILE) melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), juga selaras dengan usaha kerajaan dalam mentransformasikan ekonomi berteraskan modal kepada ekonomi berorientasikan rakyat.

Pada Jumaat malam, Ahmad Zahid dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis, serta delegasi menziarahi Makam Rasulullah di Masjid Nabawi.

Timbalan perdana menteri akan mengakhiri lawatan rasmi beliau selama lima hari ke Arab Saudi pada Ahad.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *