Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Rashidi Hasbullah berkata, persidangan melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama International Federation of Arts Councils and Culture Agencies (IFACCA) itu bakal diadakan di KL Performing Arts Centre (KL PAC).

“Persidangan ini akan membincangkan pandangan baharu mengenai bagaimana budaya dan seni berputar, menyesuaikan diri sekali gus menjadikan dunia sebagai tempat yang lebih baik bagi menjana dan memperkasa inovasi, kreativiti, pendidikan serta proses digitalisasi terhadap perubahan masyarakat dan budaya.

“Selain itu objektif lain persidangan ini adalah untuk memberi inspirasi kepada peserta tentang bagaimana perubahan global dalam masyarakat, teknologi, politik dan alam sekitar saling mempengaruhi budaya,” katanya dalam sidang akhbar pra pelancaran persidangan tersebut, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Rashidi berkata, persidangan bertemakan ‘Minda Mudah Alih: Budaya, Pengetahuan dan Perubahan’ itu bakal membariskan seramai 93 orang penceramah dan moderator terkenal di peringkat antarabangsa.

Katanya, lebih 70 buah negara dijangka akan turut serta dalam persidangan kali kedua diadakan di negara Asia selepas Singapura pada 2003.

“Persidangan ini diharap dapat menemukan idea dan solusi baharu menerusi perkongsian ilmu dari penyelidik, pembuat dasar dan semua yang terlibat dalam seni budaya seluruh dunia dalam usaha merancakkan sektor industri kreatif negara di peringkat global.

“Selain itu, kita akan mencari perspektif yang berbeza tentang bagaimana kerajaan dan pembuat dasar mencari keseimbangan antara permintaan semasa di samping memelihara budaya dalam arus kemajuan dan transformasi masyarakat,” katanya.

Orang ramai khususnya pembuat dasar, penyelidik, pengurus dan pengamal seni budaya yang terlibat dalam industri kreatif dijemput menyertai sidang kemuncak tersebut dan penyertaan boleh dilakukan secara atas talian.