Malaysia menduduki tempat ketiga dalam kalangan 193 negara di dunia dari segi komitmen untuk keselamatan siber, menurut Indeks Keselamatan Siber Global (GCI) 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Security Malaysia (CSM), Datuk Dr Amiruddin Abdul Wahab, berkata menerusi laporan yang dikeluarkan GCI, Malaysia berada di belakang Singapura dan Amerika Syarikat (AS).

“Malaysia sebelum ini pernah menduduki kedudukan sama pada 2014.

“Penilaian bagi setiap negara dibuat berdasarkan lima aspek iaitu perundangan, teknikal, organisasi, pembinaan keupayaan dan kerjasama,” katanya pada sidang media Persidangan Industri 4.0 dan Pendigitalan di Kuala Lumpur, pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata, tahap kesedaran untuk menyediakan pelaburan bagi meningkatkan keselamatan siber dalam industri di Malaysia masih rendah.

“Ini kerana kebanyakan syarikat sentiasa melihat keselamatan siber sebagai kos dan bukannya pelaburan perniagaan.

“Walhal keselamatan siber bukan sekadar masalah teknikal malah perlu dilihat sebagai isu secara meluas berikutan ia membabitkan organisasi dan negara,” katanya.

Beliau berkata, keselamatan siber perlu dilihat sebagai aset penting yang perlu disepadukan ke dalam syarikat secara menyeluruh atau sebagai ekosistem dalam talian negara.

“Ia harus menjadi sebahagian daripada rutin, namun sesetengah syarikat masih melihatnya (keselamatan siber) sebagai kos dan bukannya dapat membantu mencegah kemerosotan ke atas prestasi syarikat,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, peningkatan dalam jumlah kes keselamatan siber menunjukkan bahawa pakar dalam bidang berkenaan di Malaysia masih belum mencukupi untuk mencapai ekosistem internet yang lebih selamat.

Justeru katanya, CSM menyasar sekurang-kurangnya dapat melahirkan sekurang-kurangnya 10,000 pakar keselamatan siber menjelang 2020 bagi memenuhi keperluan itu.

Info:

– GCI adalah kaji selidik yang dikeluarkan Kesatuan Telekom Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengukur komitmen 193 negara dalam keselamatan siber.

– Selain Malaysia, antara 10 negara yang tersenarai ialah Oman, Estonia, Mauritius, Australia, Georgia, Perancis dan Kanada

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *