MH Online

Laman Suara Rakyat

Malaysia Pertimbang Laksana Gelembung Perjalanan Dengan Wilayah Status Hijau

Malaysia Pertimbang Laksana Gelembung Perjalanan Dengan Wilayah Status Hijau

PUTRAJAYA, Malaysia mempertimbang untuk melaksanakan gelembung perjalanan atau ‘travel bubble’ dengan wilayah berstatus hijau untuk memacu pertumbuhan ekonomi akibat penularan pandemik COVID-19.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pihaknya lebih tertumpu kepada zon hijau tertentu dan bukannya menunggu sesebuah negara itu diisytiharkan sepenuhnya bebas daripada COVID-19.

“Kami tidak lagi melihat negara (secara keseluruhan), tetapi lebih kepada destinasi tertentu.

“Jika kita mahu menunggu sesebuah negara untuk bertukar kepada status hijau, ia mungkin berubah semalaman,” katanya memetik Langkawi di Malaysia sebagai zon status hijau dan Bali di Indonesia sebagai contoh.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melancarkan kempen Meet in Malaysia di sini hari ini.

Nancy berkata pihaknya dan Kementerian Luar akan mengadakan pertemuan Isnin ini untuk membincangkan dan mengenal pasti wilayah berstatus hijau yang boleh bekerjasama dengan Malaysia dalam soal cadangan berkaitan gelembung perjalanan.

Wilayah dipertimbangkan Malaysia meliputi dari Australia, Brunei, China, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Singapura, Thailand, Kemboja dan Vietnam.

“Ia boleh berjaya jika wujud persetujuan antara negara berkenaan. Kami sedang mencari negara yang dapat membuka wilayah hijau mereka kepada kami,” katanya.

Nancy berkata cadangan gelembung perjalanan dengan wilayah berstatus hijau berdasarkan potensi pasaran yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.

“Ini termasuk aktiviti perdagangan, perniagaan, pelancong perniagaan dan kemasukan pelancong asing serta sumbangan pendapatan pelancongan jangka pendek yang penting kepada negara, dengan mengambil kira aspek keselamatan dan kesihatan,” katanya.

Nancy bagaimanapun berkata pelaksanaannya tertakluk perbincangan dua hala, dengan pertimbangan penting atas aspek kesihatan, imigresen, pengesanan data dan pemantauan berterusan oleh agensi yang berkaitan dengan negara terbabit.