Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Malaysia Pelopori Penubuhan Lembaga Pihak Berkuasa Halal Antarabangsa

Malaysia Pelopori Penubuhan Lembaga Pihak Berkuasa Halal Antarabangsa

KUALA LUMPUR, Malaysia bakal menubuhkan Lembaga Pihak Berkuasa Halal Antarabangsa bagi menyeragamkan pengeluaran sijil halal dunia, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu akan dilaksanakan oleh Majlis Halal Malaysia dengan menyatukan semua badan halal seluruh dunia.

“Sebagai peneraju industri halal global, Malaysia menerusi Majlis Halal Malaysia mempunyai perancangan besar untuk dunia antaranya menubuhkan Lembaga Pihak Berkuasa Halal Antarabangsa.

“Menerusi penubuhan itu, proses pengeluaran sijil halal dapat diseragamkan di peringkat dunia. Selain itu, kita juga dalam proses menubuhkan Akademi Penyelidikan Halal Antarabangsa yang pertama di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Halal Sedunia 2018 Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Persidangan dua hari bermula hari ini bertemakan ‘Hala Tuju Ekonomi Seterusnya?’ dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) sempena Minggu Halal Sedunia 2018.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Malaysia sudah menyiapkan rangka kerja di bawah Pelan Induk 2.0 untuk pembangunan industri halal negara sehingga tahun 2030.

Katanya, pelan induk itu perlu dilaksanakan segera kerana banyak perkembangan pantas berlaku dalam industri itu.

“Kita tidak mahu menunggu sehingga tahun 2020 di mana pelan induk sebelum ini tamat bagi memperkenalkan perancangan baharu.

“Visi industri halal Malaysia seterusnya akan selari dengan visi Malaysia 2030 untuk pembangunan yang lebih mampan.

“Sasaran Malaysia ialah untuk mengukuhkan dan mempelbagaikan industri halal tempatan dengan menyediakan eko-sistem yang lebih komprehensif sekali gus mampu mengekalkan perkembangan pesat industri halal tempatan dan mengubahnya kepada penyumbang ekonomi utama untuk Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK),” katanya.

Pelan Induk Industri Halal Malaysia yang pertama dirancang dari tahun 2008 hingga 2020 dan sejak pelancaran pelan induk itu, industri halal Malaysia berkembang dengan pesat.

Sehingga Disember tahun lalu, Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju hab halal global dengan nilai eksport tahunan untuk produk halal sebanyak RM43 bilion dan berjaya menarik pelaburan bernilai RM13.3 bilion di Taman Halal HALMAS.

Leave a Reply

Top