Malaysia, yang mengutuk serangan peluru berpandu ke atas Arab Saudi, telah menyatakan harapan agar pelaku terbabit dibawa ke muka pengadilan.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, dalam kenyataan malam ini, berkata serangan itu secara terus terang melanggar kedaulatan kerajaan Arab Saudi dan merupakan satu ancaman terhadap keamanan dan keselamatan serantau serta global.

“Dalam hal ini, Malaysia tegas dalam soal perpaduan dengan Arab Saudi. Makkah adalah tempat paling suci bagi umat Islam.

“Tindakan agresif itu jelas tidak menghormati kesucian tempat suci berkenaan. Ia amat dikesali dan bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar di Arab Saudi pada Khamis.

Pada 27 Okt lepas, tentera gabungan Arab yang berperang di Yaman berjaya memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik yang dilancarkan pemberontak Houthi kira-kira 65 kilometer dari kota suci Makkah.

Pemberontak Houthi juga melancarkan serangan yang serupa di lokasi pangkalan udara Arab Saudi di Taif pada 10 Okt.

“Walaupun tiada mangsa terkorban dilaporkan daripada serangan itu, insiden ini mencetuskan kemarahan dalam kalangan masyarakat Islam di seluruh dunia,” katanya.

Mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan isu penting mengenai keselamatan Tanah Suci yang menimbulkan kebimbangan kepada umat Islam.

Semasa mesyuarat itu, Anifah juga menyatakan sokongan Malaysia bagi pencalonan Dr Yusuf Ahmed Al-Othaimeen sebagai Setiausaha Agung baharu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Malaysia juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Iyad Ameen Madani atas sumbangan beliau kepada organisasi itu semasa memegang jawatan setiausaha agung badan itu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *