Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Malaysia Ke Arah Negara Sekular

Malaysia Ke Arah Negara Sekular

KUALA LUMPUR, Dasar negara yang melindungi Islam dan hak keistimewaan Melayu dipertikai secara terbuka menunjukkan permulaan sekularisme di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam kenyataannya berkata, perkara itu dahulunya dianggap tidak mungkin akan berlaku.

“Bagi saya ia tidak mustahil. Segalanya dilihat bergerak pantas ke arah itu,” katanya.

Menurutnya, kekuatan kerajaan bukan lagi berada di atas tangan Melayu dan Islam.

“Ada yang tanya, tidakkan pemimpim Islam dalam kerajaan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendiamkan diri, saya jawab tidak boleh berbuat apa- apa.

“Anwar dahulu lain dengan Anwar sekarang,” katanya.

Beliau berkata, situasi sama dihadapai oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dahulunya lantang bersuara di atas platform Umno.

“Bersatu adalah parti minoriti dalam Pakatan Harapan. Realitinya sekarang beliau bukan lagi orang Umno,” katanya.

Shaberry berkata, Malaysia baharu didokong oleh kerajaan  kelompok baharu yang rata-ratanya tidak mahu negara menghabiskan masa, kekayaan dan tenaga terhadap sesuatu agama atau mana- mana kaum lagi.

“Kata mereka, kalau tak bubar Jakim, majlis agama Islam, Mara dan institusi Melayu lain pun, negara tak patut membiayai mereka lagi. Ia permulaan kepada sekularisme total di negara kita.

“Bahasa kebangsaan pun diuji apabila Mandarin mula diperkenalkan dalam urusan rasmi,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Kemaman itu berkata,  semua institusi Melayu dan Islam yang sebelum ini menikmati perlindungan dan pembiayaan negara perlu menerima hakikat tersebut dan membuat persiapan bagi menghadapi era baru ini.

“Era yang ditentukan oleh rakyat dan mereka perlu menghormati kemahuan rakyat. Bunyinya pedih, tetapi ia adalah realiti yg mesti diterima,” katanya.

Menurutnya, mempertahankan polisi dan dasar yang diamalkan sebelum ini adalah seperti menolak bas  rosak ketika mendaki bukit tinggi.

“Ia sulit dan amat mencabar,” katanya.

Sehubungan itu, ia adalah cabaran Umno dan sesiapa yang mahu menggalas tanggungjawab tersebut.

“Bukan sahaja memerlukan keupayaan mental dan fizikal tetapi asas ideologi yang kuat,” katanya.

Beliau berkata, ada pihak yang mengatakan sekiranya mahu mentadbir kembali kerajaan, Umno harus membuka keahlian kepada bukan Melayu.

“Kalau begitu, Umno akan jadi seperti PKR. Mungkin boleh menang, tetapi pemimpin yang sekuat manapun Melayu atau Islamnya terpaksa menyembunyikan isi hatinya kerana platform Umno bukan lagi platform Melayu-Islam. Sama seperti Anwar dan Tun M tadi.

“Melayu-Islam hari ini berada dipersimpangan. Masa depan Umno pula banyak bergantung kepada pemandunya yang akan ditentukan pada 30 Jun nanti,” katanya.

Leave a Reply

Top