Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Malaysia Hilang Ramai Tenaga Kerja Akibat Kemalangan

Malaysia Hilang Ramai Tenaga Kerja Akibat Kemalangan

KUALA LUMPUR, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua penunggang motosikal supaya sentiasa fokus semasa berada di jalan raya berikutan kadar kemalangan yang tinggi melibatkan golongan itu.

Beliau berkata jika keadaan itu terus berlaku, Malaysia akan kehilangan ramai tenaga kerja yang akhirnya akan merugikan negara.

“Jadi sebagai penunggang motosikal kita mesti memberi fokus kepada perjalanan kerana yang penting sampai ke destinasi kita.

“Ingatlah walaupun kita melayani minat kita menunggang motosikal atau menggunakan motosikal untuk perjalanan ke tempat kerja (misalnya), namun keselamatan kita mesti diutamakan,” katanya semasa berucap melancarkan Wilayah International Motofest 2018 di sini, malam tadi.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Program itu dianjurkan Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kelab Kepala Kuasa MG.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata penyertaan rakyat pelbagai kaum dalam aktiviti dan minat yang dikongsi bersama dapat menterjemahkan kesepaduan rakyat di negara ini.

“Perhimpunan kita pada malam ini bukan hanya sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan tetapi sebagai penduduk di wilayah, sebagai rakyat Malaysia kita harus menterjemahkan kesepaduan kita atas minat yang sama,” katanya.

Katanya, acara tiga hari bermula semalam itu bukan hanya disertai rakyat tempatan malah peminat dan pemilik motosikal dari negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Brunei.

Ahmad Zahid berkata satu lagi perhimpunan membabitkan pemilik motosikal akan diadakan pada 23 Mac di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, yang dijangka menghimpunkan 100,000 motosikal.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan meminjamkan sejumlah kenderaan yang digunakan baginda dalam program Kembara Johor untuk dipamerkan, katanya.

Leave a Reply

Top