MH Online

Laman Suara Rakyat

Majlis Agama, Sosial Dan Rasmi Bergantung Kepada Kapasiti Ruang

Majlis Agama, Sosial Dan Rasmi Bergantung Kepada Kapasiti Ruang

PUTRAJAYA, Kerajaan hari ini menetapkan had maksimum untuk majlis agama, sosial dan rasmi diselaraskan dan bergantung kepada kapasiti ruang serta pematuhan penjarakan sosial, bermula 15 Julai ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini bersetuju mempertimbangkan semula had maksimum pengunjung dan peserta seramai 250 bagi mesyuarat, perhimpunan, latihan serta jemaah masjid, surau dan rumah ibadah bukan Islam.

“Kepada peserta seminar, mesyuarat dan penganjuran majlis sosial dan perkahwinan, kita sebelum ini membenarkan untuk majlis perkahwinan setakat 250 orang saja.

“Di masjid sebelum ini kita hanya benarkan setakat satu pertiga daripada keluasan masjid dan rumah ibadat bukan Islam. Jadi untuk menyamaratakan semua sekali, maka mesyuarat bersetuju untuk mengehadkan peserta berdasarkan kepada keluasan tempat, dengan syarat ada pematuhan penjarakan sosial sejauh satu meter.

“Katakan masjid, tidak perlu lagi satu pertiga jika ada penjarakan sosial satu meter. Begitu juga majlis perkahwinan di hotel, dalam dewan (ballroom) itu boleh memuatkan 1,000 dan dengan penjarakan sosial boleh ada 800 orang, maka 800 lah.

“Jumlah itu berdasarkan kepada keluasan premis berkaitan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan PKP, di sini, hari ini.

Pada 26 Jun lalu, Kerajaan bersetuju benarkan jemaah menunaikan solat Jumaat di pekarangan masjid biarpun sebelum ini hanya membenarkan jumlah jemaah satu pertiga daripada kapasiti ruang utama rumah ibadat itu.

Pelaksanaan PKP sejak 18 Mei lalu melarang ibadat di masjid dan rumah ibadat serta sebarang perhimpunan dan mesyuarat.

Bagaimanapun, pada 15 Mei lalu, dua bulan selepas pelaksanaan PKP, solat Jumaat pertama diadakan di Masjid Negara.