MH Online

Laman Suara Rakyat

MAIWP Sedia Dana Kecemasan Berjumlah RM9.5 Juta

MAIWP Sedia Dana Kecemasan Berjumlah RM9.5 Juta

KUALA LUMPUR, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM500 bagi membantu mereka yang terkesan COVID-19 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata individu terkesan itu boleh memohon menerusi bantuan zakat kecemasan, yang akan dibuka permohonannya secara dalam talian mulai 16 November sehingga 27 November ini.

Katanya, mereka yang layak adalah pemohon tinggal di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Pemohon juga bukan penerima bantuan kewangan bulanan Baitulmal MAIWP,” katanya menerusi Twitter beliau sebentar tadi sambil memaklumkan peruntukkan sebanyak RM9.5 juta disediakan MAIWP bagi tujuan itu.

Sementara itu, MAIWP dalam kenyataan berasingan memaklumkan, mereka yang menjadi tumpuan penerima kali ini adalah pemandu teksi/ e-hailing; pengawal keselamatan, peniaga kecil, hilang pekerjaan akibat COVID-19 dan golongan yang terkesan akibat COVID-19.

“Mereka yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM500 dan akan disalurkan sebelum 31 Disember depan,” katanya.

Jelasnya, bantuan zakat kecemasan ini bukan kali pertama diluluskan yang mana bantuan ini sudah mula dibuka semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac lalu.

“Sebanyak RM10 juta sudah diperuntukkan dan membantu seramai 23,340 orang,” katanya.