Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > MAIWP Luluskan Zakat Tambahan RM12.1 Juta

MAIWP Luluskan Zakat Tambahan RM12.1 Juta

KUALA LUMPUR, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meluluskan peruntukan zakat tambahan RM12.1 juta untuk golongan asnaf dan menampung keperluan perubatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi peruntukan itu, seramai 24,196 orang asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta tujuh hospital di Wilayah Persekutuan akan mendapat manfaatnya.

Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee, berkata peruntukan itu diberi atas keprihatinan MAIWP selain menyahut seruan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, supaya kebajikan asnaf dipelihara sepanjang tempoh PKP.

Sehubungan itu, katanya, setiap asnaf akan menerima bantuan RM500 yang akan disalurkan awal bulan depan.

“Sebelum ini, MAIWP mempercepatkan penyaluran Bantuan Zakat Kewangan bagi bulan ini kepada 19 Mac berbanding 25 hari bulan seperti lazimnya, membabitkan perbelanjaan berjumlah RM9.67 juta.

“Bagi menampung keperluan peralatan kesihatan dan perubatan di hospital susulan COVID-19, MAIWP juga meluluskan peruntukan berjumlah RM3.27 juta yang akan disalur kepada tujuh hospital di Wilayah Persekutuan.

“Bantuan berbentuk peralatan pernafasan seperti BIPAP Machine bagi Unit Rawatan Rapi (ICU) bernilai RM80,000 setiap satu, alat bantuan pernafasan ICU bernilai

RM150,000 seunit, alat bantuan pernafasan di rumah bernilai RM90,000 seunit dan peralatan lain bernilai antara RM5,000 hingga RM20,000 setiap satu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, MAIWP akan sentiasa menyantuni semua pihak yang mengalami kesukaran ketika tempoh COVID-19, selari dengan misi #musaadahCOVID19 oleh Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama).

Leave a Reply

Top