Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) perlu berusaha mengubah konsep sebagai pemberi zakat kepada ejen perubahan, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah MAIPs perlu memastikan inisiatif pemberian zakat adalah berkonsepkan inisiatif ‘beri joran’ dan bukannya ‘beri ikan” bagi membolehkan penerimanya mengusahakan sesuatu untuk menjana pendapatan.

“Konsep joran ini selaras dengan titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail agar anak-anak asnaf berjaya dan menjadi pembayar zakat pula.

“Sehubungan itu MAIPs harus menjadi pemacu supaya matlamat ini tercapai menjelang tahun 2030,” titah baginda pada majlis Apresiasi Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2015 jabatan dan agensi agama Islam Perlis di sini, malam tadi.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah MAIPs juga harus berusaha supaya setiap rakyat negeri ini lulus sekurang-kurangnya diploma pada tahun 2030 agar Perlis mencapai tahap kemajuan yang seimbang dengan negeri-negeri maju.

“Beta mahu inisiatif bersepadu dirangka dan dilaksanakan mulai sekarang kerana kecemerlangan individu tidak menjamin kejayaan sesebuah organisasi. Kecemerlangan harus diterapkan sebagai budaya kerjasama berpasukan,” titah baginda.

Pada majlis itu seramai 26 orang menerima APC, 20 menerima Anugerah Ketrampilan dan tiga menerima anugerah khas yang diperkenalkan sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada bekas-bekas tokoh MAIPs.

Penerima anugerah khas ialah Ketua Bahagian Pembangunan Kewangan MIDF Azizi Mustafa (Seri Sumbangsih MAIPs), bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang dilantik penasihat khas kepada menteri pendidikan tinggi, Prof Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin (Seri Ilmuan MAIPs) dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Abdul Malik Hussin (Jasa Mu Dikenang).

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *