MH Online

Laman Suara Rakyat

MAIDAM, Bank Rakyat Kerjasama Bantu Pesakit Asnaf

MAIDAM, Bank Rakyat Kerjasama Bantu Pesakit Asnaf

KUALA TERENGGANU, Pesakit asnaf yang memerlukan rawatan hemodialisis di negeri ini bakal mendapat pembelaan sewajarnya apabila satu pusat rawatan hemodialisis yang dibina di Taman Alamanda, Jalan Sultan Omar di sini, bakal beroperasi tidak lama lagi.

Projek yang menelan belanja RM750,000 itu dibangunkan menerusi Projek myWakaf hasil usaha sama antara Bank Rakyat dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Ketua Pematuhan Syariah Bank Rakyat, Mohd Zamerey Abdul Razak, berkata bagi membangunkan projek berkenaan, Bank Rakyat menerusi inisiatif zakatnya kini sedang melaksanakan kutipan dana wakaf hasil kerjasama MAIDAM bagi menanggung kos pembinaannya.

“Pembinaan pusat rawatan hemodialisis ini tidak memerlukan kos tinggi kerana MAIDAM sudah memiliki sebuah rumah yang diwakafkan pewakaf dan sumbangan diperlukan bagi menyediakan peralatan bagi tujuan rawatan seperti mesin dan sebagainya yang menelan belanja sebanyak RM750,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sempena kerjasama itu di sini, semalam. Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pentadbiran dan Pembangunan MAIDAM, Saidi Salleh @ Sulong.

Mengulas lanjut, Mohd Zamerey berkata, projek myWakaf diterajui Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (ABIM) dengan usaha sama enam institusi kewangan iaitu Bank Rakyat, Maybank Islamik, Affin Bank Islamik, Bank Muamalat, RHB Islamik serta Bank Islam dan pusat rawatan hemodialisis berkenaan adalah projek pertama di negeri ini selepas menandatangani perjanjian antara MAIDAM dan Bank Rakyat tahun lalu.

Katanya, sehingga kini pihaknya sudah mengumpul sumbangan yang dibuat melalui saluran pembayaran JomPAY sebanyak RM80,000.

“Bank Rakyat mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM375,000 dan hanya memerlukan kutipan sumbangan sebanyak RM375,000 lagi bagi membolehkan pusat rawatan berkenaan memulakan operasi.

“Perkhidmatan yang terhad di hospital kerajaan dan pusat hemodialisis swasta sedia ada serta penambahan bilangan pesakit setiap tahun menyebabkan inisiatif ini dilihat sebagai langkah yang sangat relevan,” katanya.

Sementara itu, Saidi berkata, sehingga kini pihaknya hanya menunggu proses kelulusan lesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat bulan.

“Kita percaya pusat rawatan yang terletak di Taman Alamanda Jalan Sultan Omar itu akan memulakan operasi tahun ini,” katanya.

Orang ramai atau agensi serta orang perseorangan yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menggunakan saluran pembayaran JomPAY atau menerusi akaun MAIDAM (110-11-2012-381).

Sumbangan juga boleh dibuat dengan mengunjungi cawangan Bank Rakyat yang berdekatan atau hubungi Pusat Panggilan tele-Rakyat di talian 1-300-80-5454 untuk sebarang maklumat lanjut.