Mahkamah Jerman semalam mengarahkan Facebook untuk berhenti menggabungkan data yang dikutip menerusi WhatsApp dan Instagram atau laman web lain, kecuali dengan persetujuan eksplisit oleh pengguna.
Pejabat Kartel Persekutuan (FCO) Jerman mengarahkan Facebook untuk mengekang pengumpulan data dalam satu keputusan penting pada 2019, namun ia dirayu oleh gergasi media sosial itu.
Dalam satu prosiding laluan pantas, Selasa, Mahkamah Keadilan Persekutuan (BGH) Jerman menyebelahi penemuan pemantau FCO bahawa Facebook mencabuli kedudukan dominan dimiliki untuk memaksa pengguna merelakan data mereka dikumpul.
“Facebook tidak membenarkan sebarang pilihan,” kata hakim bertugas, Peter Meier-Beck, dalam mahkamah di Karlsruhe.
Katanya, syarikat Lembah Silikon itu mesti mematuhi perintah berkenaan sementara rayuannya masih tergantung di sebuah mahkamah rendah.
Ia adalah tamparan hebat kepada gergasi media sosial itu yang sekian lama berada bawah pemantauan rapi Jerman yang amat mementingkan privasi.
Bagaimanapun, Facebook menegaskan, ‘tiada perubahan segera’ terhadap pengguna di Jerman dan menekankan bahawa prosiding rayuan utama masih berterusan.
“Kami akan terus mempertahankan pendirian bahawa tiada sebarang pencabulan antikepercayaan berlaku,” kata seorang jurucakap. – AFP
Berita lain
Australia Ubah Lagu Kebangsaan Iktiraf Kaum Pribumi
Petugas Kesihatan AS Alami Alergi Serius Selepas Divaksin
Conte Tolak Tekanan Untuk Istihar Darurat