Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Mahathir Tolak Hasil Siasatan CAAM

Mahathir Tolak Hasil Siasatan CAAM

LANGKAWI, Dr Mahathir Mohamed hari ini menolak hasil penemuan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang mengenepikan sebarang unsur sabotaj pada pesawat yang sepatutnya digunakan beliau untuk penerbangan ke Langkawi kelmarin.

Calon PKR bagi kerusi Parlimen Langkawi untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu berkata, beliau tidak dapat menerima kenyataan dibuat CAAM itu, kerana mendakwa ia dibuat tanpa melalui melalui siasatan yang terperinci ke atas pesawat.

“Mereka kata ia bukan sabotaj…bagaimana mereka buat kesimpulan sebegitu sedangkan mereka tak buat apa-apa siasatan,” katanya kepada pemberita selepas menemui pengundi di pasar awam Kuah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, perbuatan sabotaj didakwanya itu hanya sebahagian daripada usaha untuk menghalang beliau daripada menjadi calon bagi kerusi Parlimen Langkawi.

“Secara kebetulan, seorang rakan yang biasa membenarkan saya menggunakan pesawat miliknya, mengakui dia ditekan seseorang supaya berhenti berbuat demikian.

“Saya bagaimanapun bernasib baik ada kawan lain yang benarkan saya guna pesawat untuk terbang (dari Subang) ke sini.

“Saya rasa ini sebahagian daripada rancangan untuk halang saya sampai ke Langkawi dan serahkan borang penamaan calon, supaya saya tak boleh bertanding dalam pilihan raya umum,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi CAAM, Datuk Seri Azharuddin A Rahman, mengenai siasatan terhadap dakwaan sabotaj ke atas jet peribadi yang sepatutnya digunakan beliau untuk penerbangan dari Subang ke sini kelmarin.

Kerusi Parlimen Langkawi menyaksikan saingan tiga penjuru apabila penyandang, Datuk Ir Nawawi Ahmad, dari BN dicabar Dr Mahathir yang menggunakan logo PKR dan calon PAS, Zubir Ahmad.

Pada PRU-13, Nawawi menang dengan majoriti 11,861 undi menewaskan calon PKR, Ahmad Abdullah dan calon Bebas, Marina Hussein.

Leave a Reply

Top