ARAU, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu berhenti menuduh PAS sebagai punca perpecahan Melayu, sebaliknya menilai gabungan pembangkang yang diketuainya sendiri, yang sememangnya cenderung mencetus permusuhan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata selain kewujudan pakatan pembangkang yang mencetus pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), tindakan gabungan itu yang sebenarnya memulakan permusuhan dan menyerang PAS secara terang-terangan sekali gus menjurus ke arah perpecahan.

Beliau berkata, tindakan Dr Mahathir menuding jari dengan mendakwa PAS sebagai punca perpecahan Melayu adalah tidak tepat kerana gabungan pembangkang diuketuyainya yang sebenarnya memulakan permusuhan itu.

“Tun (Dr Mahathir) perlu lihat apa yang berlaku dalam gabungan mereka yang kerap melakukan serangan kepada PAS.

“Mereka yang mengisytiharkan PAN (Parti Amanah Negara) mahu mengambil alih Kelantan dan PAN bertanding semua di kerusi PAS, jadi kita dipersalahkan hingga berlaku perpecahan?

“Di sebalik kita menghulurkan tangan, mereka bertindak ‘memukul’ kita dari arah belakang, berhentilah pukul curi,” katanya pada siri jelajah Timbalan Presiden PAS ke Perlis di Kampung Katong, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Dr Mahathir yang mendakwa PAS sebagai punca orang Melayu berpecah serta penyebab berlakunya pertembungan tiga penjuru pada PRU nanti kerana keengganannya menyertai gabungan pembangkang.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata PAS tidak bermasalah untuk berhadapan PRU secara bersendirian kerana sudah biasa menghadapinya.

“PAS tidak takut dengan kekalahan kerana kita sudah biasa menghadapinya. Kita pernah menang dan kita juga pernah kalah.

“Kita ditubuhkan bukan semata-mata untuk mentadbir tetapi sebagai gerakan menegakkan Islam, jika kita kalah (pilihan raya) sekali pun, perjuangan kita masih diteruskan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *