Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Mahathir, Mukhriz Dan 3 Yang Lain Digugurkan Keahlian Bersatu

Mahathir, Mukhriz Dan 3 Yang Lain Digugurkan Keahlian Bersatu

KUALA LUMPUR, Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi Ahli Parlimen menolak keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk menggugurkan keahlian mereka kerana mendakwa ia bertentangan dengan undang-undang.

Ahli Parlimen terbabit tidak bersetuju sama sekali keahlian masing-masing dalam BERSATU terhenti serta-merta, serta mendakwa ia menafikan hak mereka untuk membela diri dan memberi penjelasan yang dijamin bawah prinsip kedaulatan undang-undang.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama oleh Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), malam tadi.

Menurut kenyataan itu, melalui surat bertarikh 28 Mei 2020, mereka dimaklumkan telah melanggar peruntukan 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan BERSATU kerana bertindak mengambil kedudukan di Parlimen pada 18 Mei lalu sebagai wakil rakyat yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan ia melanggar Perlembagaan BERSATU.

“Peruntukan 10.2.2 menyatakan ‘mengisytiharkan keluar daripada parti’ dan 10.2.3 menyatakan ‘menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain di negara ini’.

“Dilihat pada takrifan itu, amat dangkal dan tidak munasabah untuk kami dikatakan sudah keluar parti sedangkan kami hanya melaksanakan apa yang dibenarkan undang-undang dan hak kami bawah Perlembagaan Persekutuan selaku Ahli Parlimen yang sah,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, media melaporkan Dr Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq, Maszlee dan Amiruddin digugurkan keahlian daripada BERSATU, hari ini.

Berdasarkan surat yang diedarkan kepada media, keahlian kelima-lima mereka digugurkan atas alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Surat makluman mengenai perkara berkenaan yang bertarikh hari ini, ditandatangani Setiausaha Kerja BERSATU, Muhammad Suhaimi Yahya.

Dalam pada itu, kelima-lima Ahli Parlimen terbabit juga mendakwa surat diutus kepada mereka menampakkan kecelaruan urus setia BERSATU ketika ini.

“Ia ditandatangani individu yang tidak diberi kuasa bawah Perlembagaan parti dan tidak langsung menampakkan BERSATU ditadbir secara profesional.

“Tindakan seorang Setiausaha Kerja mengutus surat sebegini kepada yang antaranya ialah pengasas BERSATU sendiri, adalah sangat menjelikkan serta biadab,” menurut kenyataan itu lagi.

Mereka juga mendakwa akan memastikan BERSATU kembali ke landasan yang betul serta tidak lagi dijadikan wahana pacuan sesetengah pihak yang dikata hanya tamakkan kuasa dan kedudukan.

Leave a Reply

Top