MH Online

Laman Suara Rakyat

Mahathir, Jangan Hipokrit

Mahathir, Jangan Hipokrit

PUTRAJAYA, Kegusaran Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap keputusan Mahkamah Sesyen memberi pelepasan tanpa pembebasan kepada penerbit Hollywood, Riza Aziz dianggap sebagai tidak munasabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, meminta bekas Perdana Menteri itu tidak bersikap hipokrit dengan mengatakan tertanya-tanya, keliru dan tidak faham keputusan dibuat Peguam Negara serta Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes itu.

“Tindakan Tun amat tidak munasabah. Sebagai bekas Perdana Menteri pada masa material dan kerajaan berharap beliau tidak terus bertindak mengelirukan rakyat dengan mengatakan beliau ‘keliru’.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus bertindak mengikut undang-undang dan berpegang kepada prinsip kebebasan badan kehakiman serta proses perundangan yang sah mengikut undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mahkamah Sesyen pada Khamis lalu, membenar permohonan melepaskan tanpa membebaskan Riza yang juga seorang penerbit di Hollywood, daripada lima tuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta.

Hakim Azman Ahmad membenarkan permohonan itu selepas Pendakwa Raya ad hoc, Gopal Sri Ram, beritahu mahkamah yang pembebasan itu tertakluk kepada tertuduh memenuhi perjanjian di pihaknya.

“Suatu persetujuan dicapai antara pihak pendakwaan dan tertuduh yang mana terma-termanya adalah kerajaan Persekutuan akan menerima sejumlah wang yang banyak mencecah beberapa juta ringgit,” katanya ketika membaca kenyataan yang disediakan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan berasingan, kemudian memaklumkan kerajaan dijangka menerima semula aset-aset di luar negara berjumlah RM465.3 juta (AS$107.3 juta) ekoran keputusan Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Riza itu.

Dalam reaksinya, Dr Mahathir melahirkan kegusaran terhadap keputusan Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Riza selepas dia selaku tertuduh, bersetuju mengembalikan aset-aset terbabit.

“Di masa depan, apabila ada penjenayah yang curi duit dan dihadapkan mahkamah, adakah dia dilepaskan apabila dia kata akan pulangkan balik duit yang dicuri?

“Sebagai wakil rakyat, saya susah hati. Walaupun bukan lagi kerajaan, tetapi saya terbabit dalam pembentukan undang-undang dan kita harap undang-undang itu berkesan,” katanya sambil menegaskan tidak bermaksud mempersoalkan kuasa dan integriti mahkamah.