MH Online

Laman Suara Rakyat

Lukaku Sepatutnya Kekal Di Old Trafford

Lukaku Sepatutnya Kekal Di Old Trafford

Kritikan terhadap penyerang Manchester United, Romelu Lukaku adalah tidak adil, kata bekas pemain kelab itu, Dimitar Berbatov yang turut berharap bintang Belgium itu kekal di Old Trafford.

Lukaku menyertai United dari Everton dengan perpindahan bernilai £75 juta (RM385.32 juta) pada 2017 dan sudah meledak 28 kali dalam 66 penampilannya di kancah Liga Perdana tetapi prestasinya tampak tidak konsisten.

Ketika pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer bersedia untuk mempersiapkan pasukannya menjelang musim baharu, bekas penyerang Chelsea itu kuat dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Itali Inter Milan.

Tetapi bagi Berbatov, yang bermain di bawah kendalian Alex Ferguson selama empat musim di Old Trafford, dia lebih gemar jika Lukaku kekal di kelab berkenaan berbanding mencari haluan baharu.

“Saya fikir dia patut kekal,” kata Berbatov. “Saya menggemarinya. Saya tidak bersetuju dengan kritikan yang diterimanya, benar dia perlu meningkatkan permainannya di beberapa bahagian seperti setiap pemain lain.

“Tetapi rakan sepasukannya juga perlu membantunya. Sebagai contoh, jika saya pemain tengah dan saya bermain dengannya, saya perlu tahu bagaimana untuk menghantar bola kepadanya, bila perlu melakukan hantaran, kaki mana yang perlu digunakan. Itulah yang rakan sepasukan kamu perlu tahu, bagaimana untuk bermain dengan kamu.”

Berbatov juga percaya Lukaku berada di situasi yang tepat untuk meningkat dengan jurulatih yang mengendalikannya ketika ini memiliki pengalaman bermain di posisi itu di Old Trafford.

“Saya fikir Ole Gunnar Solskjaer adalah jurulatih yang baik untuknya kerana jika Lukaku mahu bertanyakan sesuatu, dia boleh bertanya terus kepadanya kerana Solskajer adalah penyerang yang bagus,” kat Berbatov. “Jadi jika kamu memerlukan nasihat daripada penyerang, kamu boleh berjumpa jurulatih.” – Agensi