Perkara tersebut disahkan oleh peguam Saiful Izham Ramli yang mewakili bekas Ahli Parlimen Pandan itu.

Menurut peguam itu, Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sehubungan itu membatalkan tuntutan tersebut.

Bagaimanapun alasan mengapa LTAT berbuat demikian tidak diketahui.

Dalam saman yang difailkan pada 6 Mei 2016, LTAT mendakwa pemimpin pembangkang itu di dalam laman blog dan laman Facebooknya pada 21 Mac 2016 telah mengeluarkan kenyataan bertajuk ‘Bayaran gratuiti pesara angkatan tentera lewat; LTAT perlu dedahkan risiko kewangan akibat 1MDB’.

LTAT selaku pihak plaintif mendakwa, Rafizi turut mengeluarkan kenyataan bertajuk ‘Rafizi: I have document showing LTAT’s link to 1MDB’ melalui portal berita Malaysiakini pada 24 Mac 2016 dan pada 28 Mac 2016, Rafizi didakwa mengulangi kenyataannya di laman Facebooknya dengan tajuk ‘Laporan ketua audit negara ke atas 1MDB mengesahkan kesan masalah kewangan 1MDB ke atas LTAT’.

Dalam penyataan tuntutannya, plaintif mendakwa kenyataan Rafizi secara semula jadi bermaksud bahawa LTAT langsung tidak menjaga faedah dan kebajikan pesara tentera dengan menuduhnya ada kelewatan sehingga enam bulan untuk membayar caruman atau gratuiti kepada pesara.