MH Online

Laman Suara Rakyat

‘Lorong Tikus Dikawal Ketat’

'Lorong Tikus Dikawal Ketat'

KUALA LUMPUR, Tiada pencerobohan warga asing dikesan di pintu sempadan negara melalui ‘lorong tikus’ sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setakat ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sempadan negara sentiasa dikawal ketat oleh pasukan keselamatan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

“Ramai yang melahirkan kebimbangan mengenai kawalan kita di sempadan terutama di ‘jalan tikus’.

“Seperti kita tahu, sempadan kita sudah ditutup daripada kemasukan semua warga asing dan ‘jalan tikus’ juga sentiasa dipantau untuk memastikan tiada warga asing menyeludup masuk.

“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana warga asing yang masuk melalui ‘jalan tikus’ ini,” katanya selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP di Perdana Putra di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, selain di darat, sempadan perairan negara juga turut dikawal ketat oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi menghalang pencerobohan termasuk oleh bot nelayan asing.

“Tindakan yang tegas akan diambil bagi menghalang kemasukan dan tindakan mengusir mereka keluar daripada perairan kita akan dilakukan,” katanya.