MH Online

Laman Suara Rakyat

Lokman Adam Ditahan Ketika Bersiaran Di ‘FB Live’

Lokman Adam Ditahan Ketika Bersiaran Di 'FB Live'

KUALA LUMPUR, Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam ditahan polis ketika sedang bersiaran langsung di Facebooknya, malam tadi.

Difahamkan, beliau ditahan sepasukan polis di restoran miliknya berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, kira-kira jam 11 malam.

“Malam ini saya didatangi beberapa anggota polis.. Saya tidak tahu apa benda yang mereka mahukan.

“Cukuplah (siaran langsung) malam ni, mereka (polis) dah tunggu lama,” katanya yang turut mengakhiri siaran langsung bertajuk ‘Setiap MP bakal disogok RM3 juta peruntukan jika Bajet 2021 diluluskan? Biar Betul?

Tidak lama kemudian, Lokman dilihat memuat naik satu hantaran di Facebook yang mengesahkan beliau ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Seksyen 506 Kanun Keseksaan adalah berkaitan ugutan jenayah yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Mohon hantar peguam ke USJT (Unit Siasatan Jenayah Terkelas) Bukit Aman.

“Saya ditahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.