Share on Facebook

KUALA SELANGOR, Kerajaan Selangor diminta memberi kerjasama dalam menangani isu mendapan Sungai Selangor yang menyukarkan nelayan kelas B dan C mendaratkan tangkapan mereka di jeti Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Selangor.

Pengerusi LKIM Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata pihaknya telah membuat permohonan kepada kerajaan negeri sejak dua tahun lepas untuk melakukan kerja-kerja mendalamkan sungai bagi menangani masalah mendapan berkenaan tetapi sehingga kini, tidak menerima sebarang jawapan balas daripada kerajaan negeri.

“Akibat mendapan itu, kira-kira 100 bot kelas B dan C tidak dapat mendaratkan tangkapan mereka di jeti itu kerana air terlalu cetek. Ini mengakibatkan kompleks LKIM Kuala Selangor tidak dapat digunakan secara optimum,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Kawasan Parlimen Kuala Selangor di sini, pada isnin.

Turut hadir Ketua Pengarah LKIM Datuk M Saedon Ab. Majid.

Seramai 273 nelayan menerima elaun berkenaan yang berjumlah RM80,550 selain sumbangan berupa barang keperluan harian seperti beras dan minyak masak.

Mengulas mengenai tindakan LKIM bagi menangani kenaikan harga ikan pada Tahun Baharu Cina nanti, Irmohizam berkata beliau telah dimaklumkan bahawa Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) mempunyai stok ikan rakyat sebanyak kira-kira 50 tan.

“Saya telah arahkan Nekmat untuk melambakkkan ikan berkenaan di pasar-pasar tani seluruh negara agar rakyat mempunyai pilihan untuk membeli ikan segar atau ikan segar sejuk beku,” katanya.

Di samping itu, Irmohizam berkata LKIM turut menguatkuasakan larangan mengeksport ikan rakyat termasuk ikan Bawal Putih sehingga akhir Feb ini.

“Langkah-langkah ini bertujuan memastikan stok ikan di pasaran tempatan mencukupi dan harganya dapat dikawal,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *