Anda di sini!
Utama > Sukan > Liverpool Hampiri Juara Liga

Liverpool Hampiri Juara Liga

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui kehidupannya ketika ini sama seperti orang yang sedang bertapa ketika dia dan pasukannya kian hampir menamatkan kemarau gelaran Liga Perdana Inggeris.

Liverpool kini di tangga kedua dengan 85 mata, ketinggalan satu mata di belakang penyandang juara, Manchester City dan sedang berentap memenangi kejuaraan sejak kali terakhir menjulangnya pada 1990.

Liverpool juga sedang bersiap sedia berdepan tugasan separuh akhir Liga Juara-Juara berdepan Barcelona yang memiliki mesin pencetak gol, Lionel Messi, bulan depan.

Di sebalik gembar-gembur untuk mendakap kejuaraan makin hangat diperkatakan peminat, Klopp mengakui menjalani kehidupan tersendiri.

“Saya tidak keluar rumah langsung, selain tugasan bola sepak.

“Kenapa saya perlu keluar? Saya masih ada bekalan seluar jeans yang boleh dipakai untuk 20 tahun lagi.  Jadi saya tiada masalah. Saya tidak pergi ke kedai. Saya tidak perlu melakukannya.

“Saya dapat bayangkan suasana dan mood di bandar ini sangat bagus ketika ini tapi saya tak perlu mendengarnya dan saya tak perlu melihatnya.

“Namun dalam bola sepak, saya sendiri sebagai seorang penyokong kuatnya, saya tahu apa akan berlaku ketika pasukan saya sedang harunginya ketika ini. Situasi utama yang kami hadapi ketika ini ialah mengenai desas desus.

“Saya boleh bayangkan orang ramai akan keluar meraikan kejayaan, bercakap mengenainya, tetapi kami bukan sebahagian daripada topik itu. Kami perlu memastikan ia kekal begitu dan itu tiada masalah buat kami.

“Saya suka situasi yang kami alami ketika ini, ia sangat menarik, tetapi sudah pasti kami perlu membuktikannya dalam setiap perlawanan. Ia semuanya sangat menarik, tetapi ia belum sempurna, jadi kami perlu terus bekerja keras,” kata Klopp.

Liverpool sedang mengekalkan rentak mengharungi 17 perlawanan tanpa kalah termasuk kemenangan kelapan sederet ketika membenam cabaran Porto 4-1 dalam suku akhir kedua Liga Juara-Juara, Rabu lalu.

Malam ini (jam 11 waktu Malaysia) anak buah Klopp akan bertandang ke gelanggang Cardiff City yang diambang penyingkiran.

“Persiapan bagus, tetapi perlawanan itu umpama larian acara 400meter. Ketika kamu terfikir akan memenanginya, kamu perlu pastikan larian sempurna pada baki 100 meter terakhir tetapi jika kami tidak fokus, ada pelari lain akan memintas kamu.

“Perlumbaan akan hanya tamat jika berjaya melepasi garis penamat, bukan sebelumnya.

“Tapi kami semua OK dan tiada pemain berada dalam senarai cedera dan mood pertandingan juga amat baik.

“Jika kami keletihan, kami tidak akan hiraukannya sangat. Kami mahu bermain dan menang perlawanan, bukan hanya duduk di rumah sambil berharap pasukan lain kalah.

“Sebagai seorang ahli sukan profesional, itulah perkara yang sepatutnya kamu lakukan,” kata Klopp. – Agensi

Leave a Reply

Top