Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > LISC Bakal Tarik 30K Pengunjung Ke Labuan

LISC Bakal Tarik 30K Pengunjung Ke Labuan

LABUAN, Penganjuran Cabaran Sukan Laut Antarabangsa Labuan (LISC) ke-22 dijangka menarik 30,000 pengunjung ke pulau itu dengan pengenalan sukan ekstrem baharu, perlumbaan Jetski P1, yang dijangka menjadi acara paling menarik di Labuan pada tahun ini.

Satu lagi acara utama iaitu pertandingan memancing laut dalam atau dikenali Kejohanan Sukan Memancing Labuan menawarkan hadiah wang tunai RM60,000 dijangka berjaya menarik penyertaan pemancing tempatan dan luar negara yang berlangsung sembilan hari bermula 21 April.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Labuan Corporation Mohd Zamri Mohd Esa berkata acara tahunan itu dijangka menarik sekurang-kurangnya 30,000 pengunjung ke pulau itu.

Acara tahunan itu, yang bermula pada 1997, memberi Labuan imej positif di peringkat antarabangsa susulan penyertaan peserta luar negara terutama Kejohanan Memancing Antarabangsa Rolex IGFA.

Mohd Zamri berkata enam acara utama termasuk Cabaran Berenang Merentas Selat termasuk Cabaran Kayak Mengelilingi Pulau dan 20 sukan sokongan disenaraikan sepanjang acara itu berlangsung yang dianjurkan pelbagai agensi, kelab dan persatuan.

“Oleh kerana potensinya, acara ini disenaraikan dalam kalendar pelancongan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur (BIMP-EAGA) dan kalendar pelancongan negara, bagi kategori Pesta Air Malaysia,” katanya.

Leave a Reply

Top