MH Online

Laman Suara Rakyat

Lim Dan Isteri Tiba Di Pejabat SPRM Untuk Beri Keterangan

Lim Guan Eng dan isterinya Betty Chew tiba di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang pada 9.30 pagi ini untuk direkodkan keterangan dipercayai berhubung pembelian banglo dan penjualan tanah.

Mereka tiba dengan menaiki kenderaan rasmi ketua menteri. Tiga peguam turut hadir iaitu R.S.N Rayer dan Gobind Singh Deo yang mewakili Lim dan Ramkarpal Singh mewakili Chew.

Keterangan yang akan direkodkan dipercayai berhubung pembelian banglo oleh Lim di Jalan Pinhorn dan penjualan tanah di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin.

Pembelian banglo pada harga RM2.8 juta itu menjadi kontroversi apabila Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya membangkitkan isu itu pada persidangan Dewan Rakyat bahawa harga itu di bawah nilai pasaran.

Juga didakwa bahawa pembelian banglo itu ada kaitan dengan penjualan tanah di Taman Manggis yang pada asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin.

Semasa ditemui, Gobind Singh berkata pihaknya dimaklumkan bahawa SPRM memerlukan dua hari untuk merekodkan keterangan.

“Proses mengambil keterangan akan berlangsung sehingga pukul 1 tengah hari ini dan bersambung dalam pukul 2.30 petang selepas makan tengah hari.

“Kalau diperlukan kami akan kembali esok. Tetapi buat masa ini, itu sahaja yang saya dapat maklumkan kepada anda,” katanya kepada pemberita di perkarangan pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah.

Gobind Singh berkata beliau dimaklumkan bekas pemilik banglo itu, Phang Li Koon juga dipanggil untuk memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya hari ini.