Anda di sini!
Utama > Hiburan > Lia Natalia Tidak Guna Jalan Pintas Untuk Popular

Lia Natalia Tidak Guna Jalan Pintas Untuk Popular

KUALA LUMPUR, Namanya mungkin tidak sehebat bakat baharu lain yang pantas mencuri perhatian, namun Lia Natalia tidak sesekali menggunakan jalan pintas mencipta kontroversi untuk dikenali.

Pemilik nama sebenar, Alia Afiqah Abden, 25, berkata dia selesa dengan perjalanan dilalui asalkan penerbit tidak terlepas pandang terhadap bakatnya.

Akur perjalanan kerjaya seninya masih jauh, Lia Natalia enggan tergesa-gesa mendaki puncak.

“Memang nama saya tidak terlalu popular. Saya tidak tahu di mana silapnya. Mungkin kerana tiada kontroversi, tetapi saya tidak terlalu risau.

“Tawaran berlakon tidak pernah putus datang dengan pelbagai watak menarik untuk dicuba.

“Saya selesa dengan keadaan sekarang. Asalkan tawaran kerja sentiasa ada, itu sudah cukup menggembirakan saya. Alhamdulillah, penerbit belum lagi terlepas pandang bakat saya,” katanya.

Lia Natalia memulakan kerjaya lakonan sejak tujuh tahun lalu dan antara drama yang menaikkan namanya termasuk Istikharah Cinta, 7 Hari Mencintaiku, Lara Cinta Ameena dan Suamiku Paling Sweet selain filem Pinjamkan Hatiku.

Menyentuh perancangan terbarunya, Lia Natalia berkata, dia sedang merancang memulakan langkah dalam bidang nyanyian.

Bakal tampil dengan single pertama, dia memilih genre dangdut kerana tertarik dengan irama itu.

“Memandangkan tidak ramai yang berminat menyambung legasi muzik dangdut, jadi saya ambil peluang untuk mengisi kekosongan itu.

“Setakat ini, segala perancangan masih pada peringkat perbincangan dan saya sangat berharap ia akan menjadi kenyataan,” katanya.

Lia Natalia turut melancarkan produk pelangsingan badan, pada masa sama berfungsi mencerahkan kulit iaitu Asikkkslymm selepas mencubanya.

“Berat saya pernah mencecah lebih 90 kilogram (kg) dan kini saya mencapai berat ideal iaitu 56 kg. Melihat kesannya, mengapa tidak saya berkongsi dengan mereka yang tercari-cari produk untuk mengatasi masalah yang dialami,” katanya.

Leave a Reply

Top