Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > LHDN Beri Amaran Keras Kepada Pembayar Cukai

LHDN Beri Amaran Keras Kepada Pembayar Cukai

KUALA LUMPUR, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberi amaran keras kepada tujuh juta pembayar cukai berdaftar untuk tampil mengisytiharkan cukai pendapatan individu atau syarikat masing-masing.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Percukaian LHDN, Datuk Mohd Nizom Sairi, berkata pembayar cukai yang culas akan dikenakan denda atau penalti lebih berat pada masa akan datang.

Beliau berkata, Pertukaran Maklumat Secara Automatik (AEOI) oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mendapati ada pembayar cukai dikesan memiliki akaun bank di 109 negara asing.

“Kita akan memburu mereka (pembayar cukai), ada banyak maklumat diterima untuk mencari mereka, baik di dalam mahu pun luar negara.

“Oleh itu, lebih baik tampil sebelum diburu LHDN. Kalau sudah diisytihar sejak beberapa tahun lalu, tidak perlu bimbang kerana LHDN tidak akan audit cukai pendapatan sebelum 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Seminar Percukaian LHDN-Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) 2019, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden MEF, Tan Sri Azman Shah Haron dan Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan.

Sementara itu, Mohd Nizom berkata, hampir 200,000 pembayar cukai tampil mengisytiharkan pendapatan melalui Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) yang akan berakhir 30 Jun ini.

Mengulas syarikat perniagaan yang gulung tikar akibat kelembapan ekonomi tahun lalu, beliau berkata, mereka tidak dikecualikan daripada tanggungjawab membayar cukai.

“Syarikat terbabit diberi peluang membersihkan rekod perniagaan sebelum menutup operasi syarikat secara sah.

“Sasaran kami adalah pembayar cukai dalam tiga kategori iaitu mereka yang menjana pendapatan daripada sumber di Malaysia, memasukkan dana ke dalam akaun bank asing dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada LHDN,” katanya.

Leave a Reply

Top