MH Online

Laman Suara Rakyat

Lewandowski Lepasi Pencapaian 250 Gol

Lewandowski Lepasi Pencapaian 250 Gol

Robert Lewandowski melepasi pencapaian 250 gol dalam Bundesliga menerusi dua gol ketika Bayern Munich menang 2-1 di laman sendiri berdepan Wolfsburg untuk juara Eropah itu terus mengejar pendahulu, Bayer Leverkusen.

Lewandowski, yang akan mengetahui sama ada dia dipilih sebagai Pemain Terbaik Tahunan FIFA dalam senarai turut disertai Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi esok, sudah meledak 18 gol dalam 17 perlawanan buat Bayern musim ini dalam semua kejohanan.

“Saya tidak pernah memikirkannya (anugerah berkenaan), saya hanya fokus terhadap perlawanan ini – saya tenang mengenainya, mari lihat apa yang akan berlaku,” katanya kepada Sky.

Leverkusen, yang akan menjadi tuan rumah kepada Bayern pada pertembungan pendahulu liga, Sabtu ini kekal di tangga teratas – satu mata di depan Munich – selepas menang 4-0 mengatasi Cologne dalam pertembungan tetangga Rhineland.

Wolfsburg membuat kejutan dengan mendahului selepas lima minit di Allianz Arena apabila kesilapan Leroy Sane memberikan peluang Maximilian Philipp menyepak kencang ke gawang.

Bagaimanapun Lewandowski mencetak gol ke-250 apabila menanduk masuk untuk gol penyamaan Bayern sebelum rehat.

Lewandowski kemudian meledak gol kemenangan ke penjuru gawang pada minit ke-50. – AFP