Anda di sini!
Utama > Luar Negara > ‘Letak Senjata, Tumpu Usaha Lawan Pandemik’

‘Letak Senjata, Tumpu Usaha Lawan Pandemik’

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, semalam mengulangi seruan untuk gencatan senjata global.

Beliau sekali gus menggesa semua pihak dalam konflik terbabit agar meletak senjata dan membenarkan negara dilanda peperangan untuk menumpukan usaha melawan pandemik COVID-19.

“Keadaan paling buruk akan tiba. Bencana COVID-19 sedang menuju ke semua kawasan konflik ini,” kata Guterres merujuk kepada negara yang sarat dengan pertempuran seperti Syria, Libya dan Yaman.

Beliau berkata, ada beberapa kemajuan menyusuli seruannya ke arah perdamaian pada 23 Mac lalu, namun pertempuran masih berlaku di beberapa negara yang secara langsung menghalang kemampuan melaksanakan perancangan memerangi virus berkenaan.

“Keperluan itu adalah penting dan mendesak.

“Virus itu telah menunjukkan betapa ia dengan pantas mampu merentasi sempadan, memusnahkan negara dan menghuru-harakan kehidupan,” katanya pada sidang media.

Guterres berkata, pihak terbabit dalam konflik di beberapa negara, termasuk Cameroon, Republik Afrika Tengah, Colombia, Libya, Myanmar, Filipina, Sudan Selatan, Sudan, Syria, Ukraine dan Yaman, telah menzahirkan sokongan kepada seruan beliau.

“Namun, ada jurang besar antara perisytiharan dengan perbuatan – antara menterjemahkan kata-kata kepada perdamaian di lapangan dengan dalam kehidupan manusia.

“Dalam banyak keadaan paling kritikal, kita menyaksikan pertempuran tidak berkurangan, malah sesetengah konflik semakin meningkat,” katanya.

Sambil menzahirkan penghargaan atas sokongan daripada kira-kira 70 negara, kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin agama di seluruh dunia terhadap seruannya yang terdahulu, Guterres menegaskan, ada banyak lagi kerja berkaitan perlu dilakukan.

“Kita perlu memperkukuhkan usaha diplomatik untuk menghadapi cabaran ini. Bagi menghentikan pertempuran, kita mesti meningkatkan suara menyeru perdamaian,” katanya.

Dalam pada itu, Guterres merayu negara maju dan institusi pelbagai hala supaya menambah usaha membantu negara lebih miskin berdepan pandemik berkenaan.

“Adalah penting untuk bertindak lebih awal, terutama di negara membangun,” katanya.

Beliau mengambil maklum mengenai gencatan senjata di Idlib, Syria, namun menekankan bahawa ia perlu diperluaskan ke seluruh negara itu untuk membolehkan pelaksanaan usaha mengekang penularan COVID-19.

Tambahan pula, beliau berkata, sokongan terhadap gencatan senjata oleh puak berlainan di Libya, tidak menghentikan keganasan berkenaan.

“Peperangan menghalang tindak balas terhadap COVID-19. Ini adalah masa untuk berhenti. Penerusan konflik ini tidak boleh diterima secara moral,” katanya. – AFP

Leave a Reply

Top