Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Lesap RM120,000 Ditipu Macau Scam

Lesap RM120,000 Ditipu Macau Scam

KUALA LUMPUR, Panik dengan ugutan kononnya akan ditangkap kerana terbabit dengan kes dadah, seorang guru wanita di sini kerugian RM120,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa berusia 50 tahun itu menerima panggilan telefon daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai Aidil Ahmad Abu Rashid.

Katanya, suspek yang mendakwa daripada Pejabat Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, memberitahu mangsa mempunyai hutang kad kredit sebanyak RM13,600.10.

“Apabila mangsa menafikan perkara itu, panggilan disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai anggota polis. Suspek kedua ini mendakwa mangsa juga terbabit dengan kes dadah,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang panik dengan ugutan itu mengikut saja arahan suspek dengan melakukan beberapa pindahan wang ke dalam dua akaun yang diberikan suspek dengan jumlah keseluruhan RM120,000.

Katanya, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas suspek masih lagi meminta wang sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin semalam.

“Modus operandi sindiket ini adalah memperdayakan mangsa dengan menyamar sebagai pegawai mahkamah sehingga mendorong wanita itu membuat bayaran dan mengalami kerugian.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan,” katanya.

Leave a Reply

Top