Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Lelaki Ugut Tikam Ibu Kerana RM30

Lelaki Ugut Tikam Ibu Kerana RM30

KUALA TERENGGANU, Akibat gagal mendapatkan wang RM30 daripada ibunya, seorang lelaki mengugut mahu menikam wanita itu dan membunuh keluarganya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang kelmarin, mangsa berusia 56 tahun berada di rumah anaknya di Chabang Tiga di sini, sebelum menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada suspek.

Menurut sumber, menerusi mesej berkenaan, suspek berusia 27 tahun meminta wang RM30 daripada ibunya, namun tidak diendahkan oleh mangsa.

Selepas gagal mendapatkan wang diminta, suspek kemudian menghantar mesej ugutan mahu menikam mangsa sekiranya permintaannya tidak ditunaikan.

“Mangsa enggan melayan kerenah suspek dan mengabaikan mesej berkenaan.

“Suspek yang berang permintaannya tidak dilayani kemudian ‘mengamuk’ dengan menghantar mesej ugutan mahu menikam ibunya.

“Tidak cukup itu suspek juga meminta ibunya menyediakan wang RM1,000 dan mengugut akan memotong leher setiap ahli keluarganya sekiranya gagal memberikan wang diminta,” menurut sumber.

Bimbang kejadian buruk berlaku, mangsa yang berasal dari Felda Jerangau Barat, Hulu Terengganu, kemudian segera membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga di sini, sebelum suspek tiba.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Leave a Reply

Top