MH Online

Laman Suara Rakyat

Lebih 40 NGO MAIS Gesa SKMM Ambil Tindakan

SHAH ALAM, Lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan Islam (NGOi) Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini menggesa Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bertindak tegas terhadap penulis blog ‘steadyaku47’ yang didakwa mengkritik dan memfitnah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Antara 44 NGOi itu adalah Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Persatuan Ahli Falak Selangor, Momogun Muslim Malaysia, Muslim Care Malaysia Society, Persatuan Jaringan Islam Global Masa Depan, Persatuan Halaqah Al-Quran Selangor, dan Persatuan Belia Masjid Selangor.

Jurucakap kumpulan NGOi itu, Nik Mohd Yusoff Nik Ismail berkata kritikan penulis blog terbabit menerusi artikel bertajuk ‘WTF does this Idris of Selangor thinks he is doing’ yang disiar pada 13 Dis lepas itu dilakukan dalam bahasa tidak beradab malah disifatkan sebagai budaya dan cara fikir yang terkeluar daripada tatasusila bangsa.

Menurutnya, walaupun penulis blog berkenaan dipercayai beroperasi di Australia, namun ia tidak memungkinkan polis untuk menyiasat dan bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan lelaki berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kedudukan institusi raja-raja Melayu hendaklah dihormati oleh semua warga seperti mana termaktub secara nyata dalam Perlembagaan Persekutuan. Tuduhan penulis blog ‘steadyaku47’ terhadap Sultan Sharafuddin juga adalah fitnah,” katanya.

Carian mendapati laman blog berkenaan telahpun disekat dengan makluman bahawa laman sesawang itu tidak dapat diakses di Malaysia kerana kandungannya melanggar undang-undang negara.